BUKAN nama asing lagi dalam industri pembuatan jam tangan, Fateh Watches terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama tempatan berdaya saing dengan kualiti premium.
Hasil gabungan reka bentuk moden, ketelitian teknikal serta penggunaan teknologi pembuatan yang setara dengan jenama antarabangsa.
Di sebalik reka bentuk setiap model dihasilkan, terselit sentuhan pengalaman lebih empat dekad pengasasnya, Zainal Mohd Ali, 70, yang pernah berkhidmat dalam industri pembuatan jam mewah di Switzerland.
BACA LAGI: Sediakan ruang terapi, pasangan suami isteri ubah operasi butik jadi 'hotel mewah' kucing jalanan

Rekaan Fateh Watches yang eksklusif dan premium.
Kepakaran Zainal bukan sahaja membentuk identiti Fateh Watches, malah memberi nilai eksklusif kepada setiap keluaran jenama itu.
Melihat perjalanan Zainal sejak syarikat itu ditubuhkan, anaknya, Muhammad Fitry tampil meneruskan warisan keluarganya dengan visi dan misi baharu.
Legasi lebih 40 tahun
Tekadnya bukan sekadar memastikan legasi keluarga terus hidup, bahkan membawa jenama itu ke tahap lebih tinggi melalui inovasi serta pendekatan pemasaran yang dinamik.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga kini menjadi tunjang utama syarikat tersebut.

Kepakaran Zainal dalam bidang pembuatan jam tangan menjadi inspirasi ramai.
Muncul lebih berani dan yakin di khalayak ramai, Muhammad Fitry atau lebih senang disapa Fitry berkesempatan berkongsi perjalanannya sepanjang mencurahkan khidmat untuk Fateh Watches.
Selepas menamatkan pengajian, graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor itu mula menceburi bidang perniagaan dan pembuatan jam pada 2017.
Menurut Fitry, industri tersebut sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil.
"Saya membesar melihat ayah menghasilkan jam tangan, dari proses teknikal secara manual sehingga pengurusan di kilang.
"Saya mula bantu ayah jual jam di tepi jalan, selalunya waktu cuti semester.
"Selepas belajar saya ada juga bekerja di sebuah syarikat lain dan perasaan untuk bantu kembangkan bisnes ini bila lihat umur ayah yang sudah lanjut dan semakin tua.
"Jadi, pada usia 24 tahun, saya buat keputusan berhenti kerja untuk fokus kepada Fateh Watches," katanya kepada Majoriti.

Penglibatan Fitry dalam bisnes keluarganya sejak 2017.
Tetap bermula daripada bawah, Fitry mula membuka meja jualan di beberapa kawasan seperti tepi masjid dan Pasar Karat Seksyen 13, Shah Alam.
Pada awalnya, Fitry mengakui mendapat kepercayaan pelanggan menjadi cabaran utama buatnya sebagai anak muda yang menjual jam tangan dengan jenama sendiri.
"Ada masa ayah perlu hadir juga sekadar memperkenalkan diri atau yakinkan pelanggan.
"Sebab pengalaman ayah dalam industri banyak membantu membina kredibiliti," katanya.
Meskipun tiada pengalaman dalam bidang pembuatan jam, Fitry tetap tidak melepaskan peluang untuk mempelajari proses rumit itu daripada Zainal.
Mula mengambil alih proses reka bentuk jam, Fitry kini terlibat sepenuhnya dalam proses pembuatan, penghasilan prototaip sehingga fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Katanya, proses untuk menghasilkan satu model jam tangan biasanya mengambil masa enam hingga tujuh bulan.

Proses mereka dan menghasilkan jam tangan yang sangat teknikal serta teliti.
Inspirasi semangat Sultan Muhammad Al-Fateh
Menariknya, nama Fateh itu sendiri membawa makna mendalam baginya.
Menurut Fitry, nama tersebut dipilih sebagai penghormatan dan inspirasi daripada kisah Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menawan Konstantinopel yang kini dikenali sebagai Istanbul.
"Ketabahan, strategi dan visi Sultan Al-Fateh menjadi inspirasi kepada pembentukan identiti jenama kami.
"Setiap model juga mempunyai elemen cerita tersendiri yang berkait dengan nilai-nilai tersebut," ujarnya.

Model pertama Fateh Watches yang dikeluarkan pada 2016.
Kata Fitry, sejak keluaran pertamanya iaitu Discovery Edition 1, rekaan merupakan simbolik kepada usaha syarikatnya meneroka pasaran tempatan ketika itu.
Meskipun majoriti koleksinya memfokuskan rekaan ke arah maskuliniti, Fitry ternyata turut mengeluarkan dua model elegan yang sesuai digayakan pengguna wanita.
Beliau turut menjelaskan bahawa idea asal rekaannya adalah menggunakan konsep pusingan jarum lawan arah jam (counter clockwise) yang melambangkan pergerakan tawaf dalam ibadah umat Islam.
Namun, bagi menembusi pasaran global, Fateh Watches kini mengekalkan simbolik itu dalam bentuk lebih halus sambil memperkenalkan elemen moden seperti jam automatik serta kemasan eksklusif.
Dari sudut reka bentuk, Fitry turut menekankan arah tuju baharu syarikatnya bukan sahaja menampilkan elemen sejarah, tetapi memperkenalkan nilai budaya Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Dua model dan koleksi jam tangan untuk pengguna wanita.
"Kita ada juga keluarkan model dari Legacy Series iaitu Strata Edition 1 yang menampilkan konsep tradisional dan motif songket pada talinya dan Batik Series.
"Model seperti ini kita akan buat keluaran edisi terhad supaya lebih eksklusif.
"Kami gabungkan budaya Malaysia dengan teknologi pembuatan dari Switzerland.
"Reka bentuknya tidak terlalu literal, tetapi cukup untuk menyampaikan cerita dan identiti yang besar di sebalik sebuah jam," ungkapnya.
Ditanya pula tentang rangkaian harga jam tangannya, Fitry berkata, model Fateh Watches dijual dalam lingkungan RM4,000 ke atas khususnya bagi siri premium seperti Batik Series.
Fitry bagaimanapun merancang untuk memperkenalkan rangkaian lebih mampu milik bermula sekitar RM1,000.
"Kualiti tetap keutamaan kami. Material mungkin berbeza untuk menurunkan harga tetapi, nilai eksklusif dan ciri teknikal tetap dijaga," jelasnya.

Fitry (kiri) dan Zainal bersama-sama membangunkan legasi Fateh Watches.
Strategi generasi kedua
Sebagai penyambung generasi kedua dalam Fateh Watches, Fitry turut berkongsi beberapa perancangan dan inisiatifnya yang berskala besar bagi memperkukuhkan lagi jenamanya dalam industri ini.
Antaranya adalah usaha menubuhkan institusi pembuatan jam tangan tempatan.
"Saya juga merancang untuk bangunkan enjin jam tangan sendiri yang boleh diterima pasaran luar negara.
"Saya mahu dunia melihat Malaysia sebagai negara yang memiliki kepakaran horologi (pembuatan jam tangan) tersendiri," ucapnya.
Fitri percaya dengan sokongan ramai, Malaysia mempunyai potensi besar untuk berdiri setaraf jenama-jenama global yang mendominasi pasaran jam mewah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
