Dua tahun tahan derita bau najis kucing jiran di Bandar Tun Razak


  • Massa
  • Rabu, 12 Jan 2022

KEADAAN rumah yang semak samun dan bau busuk najis kucing menambahkan rasa tidak senang hati jiran lain. — Facebook

DUA tahun terpaksa bersabar dengan bau najis kucing yang dipelihara jiran sebelah.

Itu yang dihadapi oleh Hasniza Ali, 41, selepas jirannya yang memelihara kucing tidak tahu membersihkan najis dan sanggup tinggal dengan keadaan bau yang busuk.

Menurut Hanizah, keadaan rumah di Persiaran Mewah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang rapat membuatkan bau najis itu merebak sehingga ke rumahnya sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Buat masa ini katanya, terdapat kira-kira 10 ekor kucing yang berada di rumah tersebut dan dikurung dalam sangkar.

"Sebenarnya isu bau kucing ini saya sudah majukan kepada persatuan penduduk dan sudah beberapa kali dimaklumkan kepada jiran tersebut namun tidak diendahkan.

"Laporan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Veterinar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga sudah dibuat. Mereka juga sudah datang melakukan pemeriksaan dan menghantar surat amaran.

"Tetapi jiran saya tetap tidak pedulikan dan membiarkan sahaja dan tidak mengambil tindakan untuk mencuci atau menghilangkan bau najis kucing mereka," katanya kepada Majoriti.

Menurut Hanizah, rumah jirannya itu kini diduduki oleh tiga beradik yang sudah dewasa dan sepatutnya sedar mengenai keluhan jiran-jiran lain.

Katanya lagi, mereka hanya tinggal tiga beradik sahaja selepas kematian ibu dan sudah berjiran sejak mereka kecil lagi.

Selain itu, Hanizah berkata, dia dan beberapa jiran lain juga pernah cuba untuk membantu membersihkan rumah tersebut namun niat baik itu mendapat respons negatif.

Jelasnya, bau busuk itu boleh dihidu di seluruh rumahnya sehinggakan dia malu ketika ada jiran atau pelanggan yang datang ke rumahnya.

"Ibu saya memang kerja menjahit dan kadang-kadang ada pelanggan datang. Kita sendiri boleh lihat yang muka mereka tidak selesa disebabkan bau busuk itu.

"Jadi saya terpaksa minta maaf dan selalunya akan pesan awal-awal berkenaan bau itu. Ibu saya pun ada pesan kalau boleh nak minta mereka alihkanlah kucing itu," katanya.

Tidak mahu terus menderita dengan bau busuk dan bermasam muka dengan jirannya, Hanizah berharap supaya perkara itu dapat diselesaikan dengan segera.

Segala proses aduan menurut Hanizah sudah dilakukan mengikut cara yang ditetapkan tetapi sehingga kini, masih belum ada tindakan yang dapat menyelesaikan isu tersebut.

Majoriti kini cuba mendapatkan respons daripada pemilik kucing tersebut dan persatuan penduduk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kucing, najis, massa, bandar tun razak, busuk