Pelakon suara 'Winnie the Pooh' kini bergelar datuk, bacakan buku cerita setiap hari untuk cucu


  • Maya
  • Jumaat, 26 Dis 2025

Jim Cummings meraikan sambutan krismas tahun ini dengan cucu sulungnya, Jax.

PELAKON suara legenda Hollywood, Jim Cummings, mencuri perhatian peminat apabila berkongsi sisi peribadi kehidupannya sebagai seorang datuk.

Sinonim sebagai suara di sebalik watak ikonik Winnie the Pooh, Cummings mengumumkan bahawa beliau kini bergelar datuk buat pertama kali dengan kelahiran cucunya, Jax.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menyifatkan kehadiran Jax sebagai sumber ketenangan dan kegembiraan besar buat keluarganya, terutama dalam dunia yang semakin mencabar hari ini.

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet

 

Lebih menyentuh hati, Cummings baru-baru ini mendedahkan rutin hariannya sebagai datuk, termasuk membacakan buku cerita kepada cucunya setiap hari.

Baginya, momen itu bukan sekadar aktiviti biasa, tetapi satu cara untuk mewariskan kasih sayang, imaginasi dan nilai kehidupan kepada generasi seterusnya.

Di sebalik kisah peribadi itu, Jim Cummings sebenarnya merupakan antara pelakon suara latar paling prolifik dan berpengaruh dalam industri animasi.

Beliau mula aktif sebagai pelakon suara sejak awal 1980-an dan secara rasmi menyertai Disney pada 1984.

Sejak itu, Cummings telah menyumbangkan suara kepada lebih 400 watak dalam pelbagai siri animasi, filem dan permainan video.

Beliau mula memegang watak Winnie the Pooh secara tetap pada 1988, menggantikan pelakon asal Sterling Holloway.

Sejak itu, suara Cummings menjadi identiti utama watak beruang pencinta madu tersebut selama lebih tiga dekad, menjadikannya antara tempoh paling lama seseorang pelakon menghidupkan watak animasi yang sama.

Selain Pooh, beliau juga terkenal sebagai suara Tigger, Darkwing Duck, Pete dalam pelbagai produksi Disney, serta Hades dalam filem animasi Hercules.

Kejayaan Cummings bukan sahaja terhad kepada Disney, beliau turut terlibat dalam pelbagai francais popular seperti The Lion King, Aladdin, DuckTales, SpongeBob SquarePants dan banyak lagi, menjadikannya figura penting dalam dunia hiburan animasi global.

Sempena ulang tahun kelahirannya tahun ini, Cummings memilih untuk tidak menerima hadiah, sebaliknya beliau menubuhkan sebuah tabung khas untuk cucunya, Jax, sebagai simbol legasi dan masa depan.

Inisiatif itu juga membuka ruang kepada peminat untuk meraikan hari lahirnya dengan menyumbang kepada sesuatu yang lebih bermakna dan berkekalan.

Dalam mesej penghargaan kepada peminat, Jim Cummings merakamkan terima kasih atas sokongan dan kasih sayang yang diterima sepanjang perjalanan kerjayanya.

Beliau turut berjanji untuk terus berkongsi tawa, kisah dan detik manis yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya, kini bukan sahaja dengan peminat, tetapi juga bersama cucu tersayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram