Paksu 'hilang' di AS: Berjaya jejaki, berhubung kenalan rapat, nafi lari kerana gagal pengajian


  • Cinta
  • Khamis, 25 Dis 2025

Usaha pencarian dilakukan seorang wanita yang terpisah dengan bapa saudaranya membuahkan hasil apabila kembali berhubung dengan ahli keluarganya itu.

SUSULAN usaha pencarian dilakukan seorang wanita yang terpisah sekian lama dengan bapa saudaranya baru-baru ini, ia berhasil apabila difahamkan dapat berhubung dengan pihak mengenali ahli keluarganya itu.

Menurut Abby Hazreem di laman Threads, usaha tersebut dipermudahkan dengan bantuan internet apabila beliau berjaya mengesan dan berhubung dengan beberapa rakan rapat bapa saudaranya, termasuk individu yang pernah tinggal bersamanya ketika menuntut pengajian di Toledo,Amerika Syarikat (AS).

Mereka difahamkan mengenali bapa saudaranya selain turut mempunyai hubungan sangat rapat sejak zaman belajar.

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet

Hasil perbualan menerusi panggilan telefon, wanita itu dimaklumkan bahawa bapa saudaranya merupakan seorang pelajar yang cemerlang sepanjang pengajian.

Malah, mereka juga telah menamatkan pengajian dan naik ke pentas bersama untuk menerima skrol pengajian pada hari konvokesyen.

Perkongsian maklumat itu sekali gus menjawab segala persoalan yang sekian lama berlegar dalam fikirannya, termasuk tanggapan bahawa bapa saudaranya tidak pulang ke tanah air kerana malu gagal menamatkan pengajian.

"Dengan ini, segala tanda tanya terjawab, anggapan bahawa Paksu tidak pulang kerana malu tidak menghabiskan pengajian is not true at all.

"Saya juga maklum bahawa ada seseorang yang baik hati telah berkongsi contact details beliau dengan saya.

"However, I need to be careful and not rush into things, bukanlah semudah itu untuk terus menghubungi beliau, I need to be sure that it’s really him," ujarnya.

Menurutnya, beberapa perkara perlu dipastikan terlebih dahulu, termasuk kesahihan nombor telefon tersebut dan pengesahan bahawa individu yang dihubungi benar-benar bapa saudaranya.

Sekiranya perkara itu disahkan, beliau dia mengakui masih memikirkan cara terbaik untuk memulakan perbualan memandangkan mereka sudah lama terpisah tanpa sebarang khabar berita.

Rakan-rakan bapa saudaranya turut memaklumkan bahawa mereka sendiri telah lama berusaha menjejaki keberadaan lelaki tersebut, namun tidak pernah berjaya sebelum ini.

Beberapa keping gambar lama yang dikongsi oleh rakan-rakannya turut menjadi bukti hubungan rapat mereka serta kehidupan bapa saudaranya ketika bergelar pelajar di luar negara.

Usaha pencarian itu bukan sahaja membuka semula hubungan kekeluargaan yang terputus, malah memberi sinar harapan kepada Abby Hazreem untuk akhirnya menemukan kembali insan yang sekian lama hilang daripada hidup keluarganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram