Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet


  • Sukses
  • Rabu, 17 Dis 2025

Intan Serah menitip ucapan terima kasih pada gurunya, Cikgu Hisyam sebagai individu yang membentuk kariernya sebagai atlet negara.

PERANAN guru dan jurulatih sering menjadi tunjang kepada pembentukan sahsiah serta hala tuju kerjaya seorang atlet.

Bagi atlet negara Intan Serah, jasa insan yang mencorakkan langkah awalnya dalam dunia sukan kekal terpahat kemas, apabila beliau mengimbau kembali perjalanan hidupnya yang bermula di trek olahraga sebelum berkembang ke sukan lain.

Menerusi satu perkongsian di laman Threads, Intan menyatakan bahawa kehidupannya sebagai atlet bermula sejak 2011 hasil bimbingan jurulatih olahraga pertamanya, Cikgu Hisyam.

BACA LAGI: Remaja bibir hitam bukan sebab rokok, usus rosak dek tabiat pemakanan gluten tinggi

BACA LAGI: Jangan cepat menghukum jika remaja menjauhkan diri, empati kunci baiki hubungan anak dan ibu bapa

Menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat gurunya, Cikgu Hisyam, individu berkenaan menurutnya menjadi antara sosok penting dalam membentuk asas disiplin serta mentalitinya sebagai seorang atlet.

"Kehidupan saya sebagai seorang atlet bermula dari beliau, since 2011 jurulatih olahraga saya yang pertama dan terakhir sepanjang enam tahun,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, Intan turut berpeluang mewakili Malaysia ke beberapa negara bersama jurulatih berkenaan, sekali gus membuka ruang merasai pengalaman bertanding di peringkat lebih tinggi sejak usia muda.

Namun, selepas tamat alam persekolahan, Intan mengambil keputusan untuk meninggalkan sukan olahraga dan beralih kepada sukan berpasukan yang lebih dekat dengan minatnya.

Pun begitu, keputusan tersebut awalnya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima oleh jurulatihnya pada ketika itu.

"Habis sekolah saya berpaling tadah, lari sukan lain atas asbab lebih minat bermain team sports.

"Walaupun sukar untuk cikgu terima keputusan saya, beliau tetap memberi sokongan walaupon at first tak reda kan cikgu?" katanya berseloroh.

Sepanjang kariernya, Intan telah melalui tiga cabang sukan utama iaitu olahraga, futsal dan bola sepak.

Ketiga-tiga sukan tersebut membentuk perjalanan karier yang berbeza, masing-masing dengan cabaran, pengorbanan serta pengalaman tersendiri.

Penglibatannya dalam futsal dan bola sepak kemudiannya membuka ruang lebih luas untuk Intan menonjol sebagai atlet berpasukan, selain mengukuhkan peranannya dalam arena sukan wanita negara.

Sebagai pemain bola sepak dan futsal, Intan dikenali sebagai antara atlet yang konsisten mewakili pasukan di peringkat kebangsaan dan kejohanan tempatan.

Komitmen serta pengalaman luas dalam pelbagai disiplin sukan menjadikannya seorang atlet serba boleh, selain turut menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.

"Tiga jalan sukan yang berbeza, olahraga, futsal, bola sepak, semuanya bagi pahit, manis, cabaran dan jalan cerita yang berbeza.

"Akhirnya, semua jalan itu bertemu pada satu titik yang membentuk diri saya hari ini sebagai atlet dan manusia," ujarnya.

Mengakhiri perkongsian, Intan merakamkan penghargaan khas kepada Cikgu Hisyam atas asas kukuh yang ditanam sejak awal penglibatannya dalam dunia sukan.

Menurutnya, nilai disiplin, ketekunan dan semangat juang yang diterapkan terus hidup dalam setiap langkah perjuangannya hingga ke hari ini.

"Terima kasih atas asas yang terus hidup dalam setiap langkah saya hari ini, terima kasih Cikgu Hisyam," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram