Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A


  • Bonda
  • Khamis, 18 Dis 2025

Kerjaya sebagai juruterbang sering kali dipandang sebagai bidang sukar dan menelan kos perbelanjaan tinggi. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan detik penentu hala tuju masa depan pelajar.

Bagi mereka yang menyimpan impian bergelar juruterbang, keperluan akademik yang ketat serta kos latihan yang tinggi menjadikan kerjaya ini bukan sekadar bidang glamor, sebaliknya menuntut komitmen yang tinggi.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang bekas kadet juruterbang, Feeq Azmir menerusi perkongsian di laman Threads yang menjelaskan secara terperinci laluan dan syarat untuk menceburi bidang tersebut.

BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet

BACA LAGI: Remaja bibir hitam bukan sebab rokok, usus rosak dek tabiat pemakanan gluten tinggi

Menurutnya, terdapat dua laluan utama untuk menjadi juruterbang iaitu melalui program kadet syarikat penerbangan atau mengikuti latihan di sekolah penerbangan swasta.

Laluan paling disarankan ialah menyertai program kadet juruterbang di bawah syarikat penerbangan kerana peluang pekerjaan lebih terjamin selepas tamat latihan.

Calon perlu melalui tiga hingga empat peperiksaan saringan sebelum dipilih dan jika berjaya, latihan penerbangan akan ditanggung serta diuruskan oleh syarikat penerbangan berkenaan.

"Nak jadi pilot ni ada dua laluan, satu airline cadet pilot programme di mana kena ambil tiga ke empat exam sebelum dipilih oleh airline dan airline akan hantar awak pergi training.

"Kira job secured lah atau awak boleh ambil private flying school path yang ni saya tak galakkan sebab lepas graduate, intake untuk fresh graduate pilot ni dia kurang sikit.

"Airlines lagi prefer ambil lebih ramai cadet pilot daripada intake yang fresh graduate pilot," katanya.

Dari segi kelayakan akademik pula, Feeq menjelaskan bahawa calon program kadet juruterbang perlu memperoleh sekurang-kurangnya gred A dalam Bahasa Inggeris dan Matematik pada peringkat SPM, selain sekurang-kurangnya satu B dalam Fizik atau Sains.

Selain itu, syarat fizikal turut ditetapkan termasuk ketinggian minimum 158 sentimeter bagi lelaki dan wanita, serta tahap penglihatan tidak melebihi 600.

"Kalau nak join private flying school, 5C sekurang-kurangnya, tak perlu nak jadi genius untuk jadi pilot," katanya.

Namun, aspek paling mencabar ialah kos latihan yang tinggi.

Feeq mendedahkan bahawa kos untuk menjadi juruterbang berada dalam lingkungan RM470,000 hingga RM515,000 dan ia perlu ditanggung sendiri atau melalui pinjaman bank.

Tempoh pengajian pula mengambil masa sekitar dua tahun di mana tahun pertama tertumpu kepada pembelajaran teori melibatkan 14 kertas peperiksaan dengan markah lulus minimum 75 peratus.

Kegagalan mencapai markah tersebut boleh menyebabkan pelajar gagal dan terpaksa mengulang.

Tahun kedua pula melibatkan latihan penerbangan menggunakan pesawat kecil sehingga melengkapkan 200 jam penerbangan sebelum layak menamatkan pengajian.

Usai tamat latihan, graduan sekolah penerbangan swasta perlu memohon sendiri jawatan di syarikat penerbangan dan menunggu pembukaan pengambilan.

Bagi kadet juruterbang di bawah syarikat penerbangan pula, mereka akan menunggu panggilan menjalani latihan bagi mengendalikan pesawat besar sebelum benar-benar dibenarkan terbang secara komersial.

Tegasnya, proses itu bukan mudah dan sebarang kegagalan dalam latihan boleh menyebabkan pelajar berdepan risiko digugurkan.

"Kalau setakat nak jadi pilot sebab atas dasar glamor, lupakan sahaja, it is a big risk career, but highly enjoyable if you have the guts to take it,” katanya.

Perkongsian itu nyata membuka mata ramai lepasan SPM tentang realiti sebenar di sebalik impian bergelar juruterbang.

Ia sekali gus memberi panduan awal kepada calon SPM yang benar-benar berhasrat menceburi bidang penerbangan sebagai kerjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram