'Jalan penuh lumpur', wanita imbau detik tsunami 2004 ketika berbulan madu di Batu Feringgi


  • Cinta
  • Jumaat, 26 Dis 2025

Tragedi tsunami melanda Aceh pada Disember 2004 kekal memahat sejarah hitam pada masyarakat sedunia. — Gambar hiasan/Agensi

TRAGEDI tsunami 26 Disember 2004 yang meragut ratusan ribu nyawa di Aceh, Indonesia kekal sebagai antara bencana alam paling dahsyat dalam sejarah.

Walaupun sudah lebih dua dekad berlalu, kenangan ngeri itu terus hidup dalam ingatan mereka yang berada hampir dengan lokasi kejadian.

Perkara sama turut dilalui oleh seorang wanita yang berkongsi pengalaman cemas ketika sedang berbulan madu di Pulau Pinang.

BACA LAGI: 'Saya pastikan Qaseh bangga dengan babanya', isteri tak segan suami kerja sebagai pemungut sampah, penting rezeki halal

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

Menurut perkongsian di laman Threads, @dewiamanda14 dan suaminya tiba di Batu Feringgi pada 25 Disember 2004 untuk percutian bulan madu pertama mereka.

Menginap di sebuah rumah tamu yang terletak di kawasan tepi pantai, situasi tidak terjangka berlaku apabila lokasi indah itu turut terkesan dengan bencana melanda negara seberang.

Kejadian berlaku keesokan paginya, bila mana pasangan tersebut membuat keputusan untuk mendaftar keluar lebih awal sekitar pukul 9 pagi.

Usai bangun pagi, suaminya sempat merasakan seolah-olah berlaku gegaran ringan, namun perkara itu tidak diambil serius kerana tidak pernah berdepan situasi gempa bumi sebelum ini.

Malah, keadaan laut juga menurutnya kelihatan normal, tanpa sebarang tanda mencurigakan.

"Bangun pagi tu suami ade cakap rasa macam ade bergoyanglah macam pening ada rasa tak?"

"Takde pulak aku cakap ye lah, tak pernah tau kan rasa gempa bumi jadi tak fikir apa pun, masa nak keluar pun, tak nampak apa yang pelik air laut macam biasa je," ujarnya.

 

 

Pun begitu, suasana menjadi luar biasa apabila mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan jalan berhampiran benteng laut dipenuhi lumpur serta air bercampur tanah.

Melalui siaran radio, mereka dimaklumkan mengenai gempa bumi kuat yang melanda Aceh pada awal pagi, diikuti tsunami besar yang meranapkan kawasan pantai di sekitar kawasan tersebut.

Gelombang berkenaan dilaporkan sampai ke pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Batu Feringgi yang merupakan lokasi penginapan mereka beberapa jam sebelum itu.

"Masa tu baru tau gempa bumi kuat, tsunami hentam Aceh dengan teruk pada awal pagi tu lagi.

"Gelombang sampai ke Malaysia dalam tengahari dan kami dapat tahu banyak pantai barat Malaysia yang kena, termasuk Feringgi.

"Ya ALLAH mujur kita dah keluar daripada sana, mujur kita check out awal kat guest house yang kami duduk tu, memang tak jauh dari pantai, kereta pun parkir hampir dengan pantai," tambahnya.

Pasangan itu kemudiannya membatalkan rancangan menaiki feri dan memilih untuk pulang melalui Jambatan Pulau Pinang.

Sepanjang perjalanan, mereka melihat permukaan laut dipenuhi serpihan kayu dan pelbagai objek terapung yang dibawa arus kuat, menambahkan lagi rasa cemas dan hiba terhadap nasib mangsa di kawasan terjejas.

Walaupun tidak terjejas secara langsung seperti mangsa lain, pengalaman itu kekal meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

Trauma dialami menyebabkan wanita berkenaan mengambil masa bertahun-tahun sebelum berani kembali ke pantai.

Sehingga kini, setiap kali menjelang 26 Disember, perasaan debar dan takut kembali menyelubungi, mengenangkan kemungkinan tragedi sama berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram