Kanser hati merebak ke organ dalaman, ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia usia 74 tahun


  • Bonda
  • Khamis, 25 Dis 2025

Ibu kepada penyanyi popular Anuar dan Ziana Zain dilaporkan meninggal dunia pada usia 74 tahun.

DUNIA seni tanah air sekali lagi dilanda berita duka apabila ibu kepada dua penyanyi terkenal, Ziana Zain dan Anuar Zain, Allahyarhamah Robiah Abdul, telah meninggal dunia pada usia 74 tahun selepas sekian lama berjuang melawan penyakit kanser hati.

Berita pemergian itu dikongsikan sendiri oleh Ziana melalui kenyataan di laman sosial pada Rabu.

Menurutnya, Allahyarhamah menutup mata kira-kira pukul 10.40 malam di sebuah hospital di Klang, Selangor selepas penyakit kanser hati yang dihidapi telah merebak ke beberapa organ dalaman termasuk usus dan buah pinggang, menyebabkan keadaan kesihatannya semakin merosot.

BACA LAGI: Pernah tular 'prank' hari jadi pada 2018, jasa guru kekal dihargai pelajar walau dah tamat sekolah

BACA LAGI: 'Patutnya paksu pulang Malaysia 1989 tapi tak muncul', wanita cari bapa saudara asal Alor Setar 'hilang' di AS

Pemergian Allahyarhamah Robiah membawa satu lagi ujian besar kepada keluarganya, lebih-lebih lagi selepas hanya sekitar empat bulan lalu mereka kehilangan bapa, iaitu Allahyarham Zin Abdullah yang meninggal dunia pada 26 Ogos lepas.

Keluarganya kini difahamkan sedang menguruskan semua urusan berkaitan jenazah jenazah ibunya dijadual dikebumikan pada Khamis sekitar pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam Elmina usai selesai urusan di hospital.

Terdahulu, Allahyarhamah difahamkan telah lama bergelut dengan penyakit kanser hati yang mula didiagnosis beberapa tahun lalu.

Walaupun telah menerima rawatan dan sokongan penuh daripada keluarga, penyakit itu terus memberi kesan mendalam apabila dikesan merebak ke organ-organ penting lain.

Sementara itu, Anuar Zain menerusi kenyataan di Instagram menitip doa agar ibunya ditempatkan di kalangan orang beriman dan solehah.

"Ya ALLAH Ya Tuhanku ampunilah arwah, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," katanya.

 

 

Pemergian itu disifatkan sebagai satu kehilangan yang amat berat oleh Ziana dan Anuar, yang kedua-duanya pernah berkongsi bahawa sokongan dan kasih sayang ibu bapa mereka adalah tunjang kekuatan sepanjang kerjaya seni masing-masing.

Allahyarham Zain, bapa mereka, sebelum ini juga banyak berperanan dalam memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada anak-anaknya dalam dunia hiburan.

Berita sedih itu turut meraih ucapan takziah daripada rakan-rakan artis dan peminat di media sosial yang menyampaikan rasa simpati serta doa agar roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram