"KERJA halal demi keluarga". Demikian ungkapan bangga seorang isteri terhadap pekerjaan suaminya walaupun sebagai seorang pemungut sampah.
Sama sekali tidak berasa malu mahupun sedih, malah wanita terbabit menjadikannya satu rutin untuk membawa anak mereka melihat sendiri usaha keras bapanya mencari rezeki.
Perkongsian dimuat naik di laman TikTok baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila memaparkan dirinya mendukung bayi perempuannya sambil menanti ketibaan sang suami yang sedang bertugas menaiki lori sampah di kawasan perumahan mereka.
BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet
Wanita itu yang dikenali sebagai Nora, berkongsi bahawa beliau sengaja turun bersama anaknya, Qaseh untuk menunjukkan betapa gigih dan kuatnya si bapa bekerja demi keluarga.
Beliau mahu anak perempuannya membesar dengan rasa bangga terhadap bapa yang bekerja sebagai pemungut sampah.
"Hari ini suami ada di kawasan kami, jadi saya berlari ke bawah untuk menunjukkan kepada Qaseh betapa kuatnya baba bekerja.
"Saya pastikan Qaseh membesar bangga dengan babanya," ujarnya.
Nora, 33, yang bekerja sebagai pengasuh perkhidmatan perlindungan kanak-kanak berkata, suaminya akan memaklumkan kepadanya menerusi hantaran mesej setiap kali lori sampah melalui kawasan tempat tinggal mereka.
"Kami akan cuba turun untuk menunjukkan sokongan kami dan memberitahunya bahawa kami sentiasa ada untuknya," katanya.
Video pendek berdurasi 10 saat itu nyata mencuri perhatian ramai apabila mencatat lebih 200,000 tontonan dengan rata-ratanya memuji sikap Nora yang tidak malu dengan pekerjaan suaminya.
Namun, Nora mendedahkan tidak semua reaksi diterima bersifat positif.
Dalam satu video berasingan dimuat naik, dia menegur satu komen negatif yang menyatakan bahawa anaknya perlu belajar bersungguh-sungguh supaya tidak berakhir seperti bapanya.
Menjawab kenyataan itu, Nora menegaskan hanya kerana seseorang melakukan pekerjaan yang tidak dipandang tinggi oleh segelintir masyarakat, ia tidak seharusnya dihina.
Mengulas lanjut, Nora memberitahu bahawa suaminya, Muhammad Darwiss, 31, baru sahaja bertukar kerjaya sebagai petugas lori sisa sampah sebelum terlebih dahulu bekerja sebagai penghantar bunga di Singapura.
Menurutnya, walaupun suaminya mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, keputusan bertukar pekerjaan dibuat demi memperoleh pendapatan yang lebih stabil bagi masa depan keluarga kecil mereka, khususnya anak tunggal yang dinantikan selama lima tahun.
"Kami menunggu lama untuk memilikinya, jadi kami mahukan yang terbaik untuknya," jelasnya.
Tambahnya lagi, dia dan suami berusaha mendidik anak mereka supaya membesar dengan sikap rendah diri, menghormati pengorbanan bapa serta menghargai semua jenis pekerjaan tanpa mengira status, sama ada tukang cuci mahupun doktor.
Kepada para pengkritik, Nora berharap masyarakat akan lebih bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain.
Menjawab pertanyaan segelintir pihak yang menganggap pekerjaan tersebut kotor dan menjijikkan, Nora dengan nada bersahaja membalas suaminya sentiasa berbau harum.
"Walau apa pun, dia berusaha untuk menjadikan hidup kami selesa, setakat ini suami saya berbau harum!" ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
