"JANGAN, nanti kena buang sekolah!” jeritan seorang guru ini pernah tular di media sosial sekitar 2018 apabila beliau dikenakan 'prank' hari jadi oleh pelajar-pelajarnya.
Biarpun sekadar gurauan, momen tersebut mencetuskan gelak tawa dan meninggalkan kenangan manis yang masih diingati sehingga ke hari ini.
Video berkenaan meskipun sudah beberapa tahun berlalu, terus kekal sebagai memori istimewa buat para pelajar yang terlibat, yang kini difahamkan telah melangkah ke alam dewasa dan membina kerjaya masing-masing.
BACA LAGI: 'Patutnya paksu pulang Malaysia 1989 tapi tak muncul', wanita cari bapa saudara asal Alor Setar 'hilang' di AS
Momen itu bukan sekadar gurauan sempena hari lahir, sebaliknya mencerminkan hubungan akrab serta penghargaan pelajar terhadap seorang pendidik yang dihormati.
Baru-baru ini, rakaman tersebut kembali tular di laman sosial dan dianggap antara video prank terawal membabitkan guru yang diraikan oleh pelajar.
Rata-rata warganet mengakui masih tersenyum melihat gelagat spontan serta reaksi jujur guru terbabit, malah tidak kurang yang mengimbau nostalgia zaman persekolahan masing-masing.
Dalam pada itu, ramai turut bertanya khabar dan tertanya-tanya tentang keadaan terkini guru berkenaan yang cukup dikenali dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan.
Guru Bahasa Inggeris itu yang mesra digelar Cikgu Nor, kini difahamkan berada dalam keadaan sihat dan ceria seperti sebelumnya.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang bekas pelajarnya, firdauss_06 menerusi ruangan komen di media sosial.
"Teacher tu alhamdulillah sihat sampai hari ni dengan family dia, saya pula jadi anak angkat teacher tu masa sekolah dulu," ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi positif dengan warganet memuji keakraban hubungan antara guru dan pelajar yang jarang dipamerkan generasi hari ini.
Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa jasa seorang guru akan terus dikenang sebagai insan terawal yang mendidik mengenal huruf dan membaca.
Walaupun masa berlalu dan pelajar bertukar ganti, kenangan serta nilai murni yang ditanam akan terus hidup dalam ingatan walau 1,000 tahun lamanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
