Belajar bahasa isyarat sejak kecil, Rina hadiahkan pingat emas Sukan SEA MLBB buat ibu bapa OKU


  • Bonda
  • Rabu, 24 Dis 2025

Rina mendedikasikan pingat emas Sukan SEA dimenanginya buat kedua ibu bapanya yang merupakan golongan OKU.

KEJAYAAN skuad e-sukan wanita negara merangkul pingat emas di pentas Sukan SEA bukan sahaja mencipta sejarah buat Malaysia, malah menjadi simbol pengorbanan serta kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapanya.

Salah seorang wira di sebalik kejayaan itu ialah Afrina Balqis Ibdhi Har Ali atau lebih dikenali sebagai Rina, pemain Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara yang mendedikasikan kemenangannya khusus buat kedua ibu bapanya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Rina yang membesar dalam keluarga istimewa, berkongsi bahawa mempelajari bahasa isyarat sejak kecil bagi memudahkan komunikasi dengan ibu dan bapanya.

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

BACA LAGI: Remaja bibir hitam bukan sebab rokok, usus rosak dek tabiat pemakanan gluten tinggi

Pun begitu, situasi itu tidak menghalang cita-citanya sebaliknya terus membentuk jati diri serta kekuatan mentalnya sehingga berjaya berdiri sebagai atlet e-sukan antarabangsa.

Pingat emas Sukan SEA dimenanginya dianggap sebagai hadiah paling bermakna buat ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber semangat sepanjang perjalanan kariernya.

Detik kepulangan Rina ke tanah air selepas kejayaan itu turut mengundang rasa sebak apabila kedua ibu bapanya hadir di lapangan terbang untuk menyambutnya dengan penuh tawa dan bangga.

Meskipun komunikasi terbatas melalui bahasa isyarat, senyuman dan ekspresi wajah jelas menggambarkan rasa syukur serta kebanggaan atas pencapaian anaknya yang telah mengharumkan nama negara.

Dalam pada itu, skuad MLBB wanita Malaysia mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara e-sukan di Sukan SEA.

Pasukan kebangsaan yang dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi berjaya menewaskan kuasa besar tradisi, Filipina, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand.

Aksi dramatik perlawanan penentuan pingat emas menyaksikan Malaysia mengejutkan pasukan pilihan itu dengan kemenangan tipis 4-3, sekali gus menamatkan dominasi Filipina dalam acara berkenaan.

Kejayaan itu merupakan pingat emas pertama Malaysia dalam pertandingan MLBB wanita sejak acara itu diperkenalkan pada Sukan SEA Phnom Penh, Kemboja pada 2023, selain menamatkan penantian emas negara dalam acara MLBB sejak mula dipertandingkan pada Sukan SEA Manila 2019.

Bagi Rina, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian sukan, tetapi bukti bahawa sokongan keluarga, walaupun dalam keterbatasan, mampu melahirkan juara yang menginspirasikan ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram