SEORANG wanita tampil merayu bantuan orang ramai selepas hampir empat dekad terputus khabar dengan ahli keluarganya dipercayai hilang di Amerika Syarikat (AS) sejak 1989.
Perkongsian itu dimuat naik oleh Abby Hazreem di laman Threads, yang menceritakan usaha keluarganya mencari bapa saudaranya, Johan Ariffin Abdul Aziz.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, individu tersebut difahamkan tidak pernah pulang ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara.
BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet
Menurutnya, Johan Ariffin dilahirkan sekitar 1962 atau 1963 dan jika masih hidup, kini dianggarkan berusia kira-kira 63 hingga 64 tahun.
Allahyarham ayahnya merupakan adik-beradik kepada Johan, yang mesra dipanggil 'paksu' dalam keluarganya.
Johan Ariffin merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari University of Toledo, AS di mana beliau melanjutkan pengajian sekitar 1984 hingga 1989 di bawah tajaan PETRONAS.
"Paksu sepatutnya pulang ke Malaysia pada 1989, pada hari kepulangannya, keluarga sudah menunggu di Lapangan Terbang Pulau Pinang tetapi dia tidak muncul.
"Yang sampai ke Malaysia hanyalah barang-barangnya yang dihantar lebih awal.
"Bila dapat saja dihubungi, alasan diberi katanya tiket kapal terbang dia terbasuh dalam mesin basuh," katanya.
Selepas kejadian itu, Johan Ariffin dilaporkan sering berpindah-randah di AS, sekurang-kurangnya tiga kali berdasarkan maklumat dari keluarganya.
Setiap kali berpindah, hubungan dengan keluarga di Malaysia akan terputus, sebelum berjaya berhubung semula dengan bantuan kenalan atau pihak tertentu di sana.
"Bila berpeluang berhubung keluarga ada juga bertanya, kenapa tidak pulang, apakah masalah dia di sana, dia hanya diam tiada jawapan.
"Setahu kami, tiada sebarang konflik keluarga yang berlaku," jelasnya.
Namun, selepas satu perpindahan terakhir, Johan Ariffin terus terputus hubungan dan sejak itu, selama kira-kira 36 tahun keluarga langsung tidak menerima sebarang khabar berita mengenainya.
Ujarnya lagi, sehingga kini mereka tidak mengetahui sama ada individu tersebut masih hidup, sudah berkahwin, mempunyai anak atau pun tidak.
Sehubungan itu, Abby dan keluarganya memohon bantuan orang ramai, khususnya individu yang pernah belajar, bekerja bersama, tinggal berhampiran atau mempunyai sebarang maklumat mengenai individu tersebut
"Walau sekecil mana pun maklumat tersebut amat kami hargai, segala maklumat yang diberikan akan dirahsiakan dan hanya digunakan untuk tujuan mencari," katanya.
Perkongsian itu turut mengundang perhatian warganet yang rata-ratanya menzahirkan simpati serta membantu menyebarkan maklumat dengan harapan misteri kehilangan Johan Ariffin dapat terjawab.
Pun begitu, masih belum ada sebarang laporan polis berhubung isu berkenaan dan Abby menggesa sebarang maklumat berkaitan segera dimaklumkan kepadanya dengan jaminan ia akan dirahsiakan demi menjaga privasi tertentu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
