Cucu Mr. Os 2 minggu tak bercakap lepas datuk meninggal, ubati rindu dengan ‘selfie’ AI


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Zara (kiri) menggunakan teknologi AI bagi mengubati kerinduan terhadap arwah datuknya, Mr. Os.

KEHILANGAN insan tersayang apatah lagi buat seorang kanak-kanak, sering meninggalkan kesan emosi yang mendalam dan sukar difahami dengan kata-kata.

Rindu yang tidak terluah serta perubahan tingkah laku menjadi antara reaksi biasa apabila seseorang berdepan perpisahan buat selamanya.

Situasi itu dilalui oleh Zara, cucu kepada pelakon dan pelawak popular, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau dikenali sebagai Mr. Os.

BACA LAGI: 'Moga beri inspirasi luar sana', suami bangga isteri wanita pertama jadi pemandu monorel di RapidKL

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

Usai pemergian datuk kesayangan, cucunya difahamkan mengalami detik sukar dan mendiamkan diri selama hampir dua minggu.

Perkara itu dikongsikan oleh ibu Zara, Haryatie Mohd Yusof menerusi satu hantaran di laman Threads yang mengundang sebak ramai pengguna laman sosial.

Menurutnya, bapanya meninggal dunia ketika Zara berusia empat tahun dan sejak itu perubahan ketara dapat dilihat pada anaknya.

"Abah meninggal masa umur Zara empat tahun, dua minggu Zara tak bercakap dengan orang, tempat kegemaran dia abah selalu bawa pergi Giant makan chicken chop.

"Lepas abah tak ada kitorang ajak dia pegi makan chicken chop tempat dia selalu makan dengan abah pun dia tak nak," ujarnya.

Dalam tempoh Zara melalui fasa kemurungan itu, satu momen kecil namun menyentuh hati berlaku apabila Haryatie secara tidak sengaja memainkan rakaman pesanan suara yang sering dihantar oleh arwah bapanya kepada Zara.

Ketika itu, Zara sedang tidur di sebelah ibunya dan tanpa disangka, Zara terus memberi respons spontan seolah-olah arwah masih di sisinya.

"Jara tidur ni, ateh," jawab Zara dalam keadaan separuh sedar.

Detik tersebut menjadi momen yang amat meruntun perasaan Haryatie, namun pada masa sama memberi sedikit kelegaan apabila melihat reaksi anaknya.

Kini, Zara perlahan-lahan cuba mengubati kerinduannya terhadap arwah datuknya dengan cara tersendiri.

Paling mencuri perhatian apabila kanak-kanak itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar selfie bersama datuknya.

Walaupun sekadar imej digital, ia memberi ketenangan emosi dan menjadi medium untuk Zara melepaskan rasa rindu yang terpendam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram