Wanita warga emas Jepun digalakkan bersolek, jaga kulit, terapi jiwa positif lawan penyakit


  • Bonda
  • Selasa, 20 Mei 2025

Warga emas di Jepun memakai solek dan menjaga kulit mereka supaya kesihatan makin membaik.

SIAPA sangka, sapuan bedak dan gincu mampu menjadi ubat mujarab untuk kesihatan mental dan fizikal warga emas?

Itulah pendekatan inovatif yang diperkenalkan oleh kerajaan bandar Yokohama bersama syarikat kosmetik terkemuka seperti Shiseido Co. dan Fancl Corp., dalam usaha menambah baik kualiti hidup golongan berusia di bandar itu.

Pada 26 Mac lalu, satu kelas kecantikan diadakan di bangunan kerajaan Yokohama.

BACA LAGI: Ramai suami tak tahu, ibu susukan anak berhak terima upah — Kaunselor Laktasi

BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar cinta! Si bujang 'take note' nasihat orang berpengalaman sebelum dirikan rumah tangga

Bersolek bantu membuatkan otak lebih aktif.

Dalam sesi itu, tujuh warga emas terdiri daripada lelaki dan wanita diajar cara melakukan senaman regangan yang mudah, disusuli aktiviti penjagaan kulit dan solekan asas.

“Biasanya saya bersolek seorang diri, tetapi hari ini belajar bersama rakan sebaya membuatkan otak saya rasa lebih aktif,” kata wanita berusia 80-an.

Menurut kajian Shiseido, tiga bulan selepas sesi berlangsung, peserta program kecantikan itu dua kali lebih cenderung untuk keluar dari rumah berbanding mereka yang tidak menyertai.

Sejak program itu dilancarkan pada 2013, lebih 256,000 warga emas telah menyertainya di seluruh Jepun.

“Amalan bersolek mudah dibentuk dan ia memberi kesan positif walaupun kepada lelaki yang tidak biasa melakukannya,” ujar penyelidik dari Institut Teknologi Mirai milik syarikat kosmetik Shiseido, Kazuyuki Ikeyama.

Kerajaan Yokohama pula melihat inisiatif itu sebagai pelaburan dalam penjagaan kesihatan jangka panjang.

Kini, terdapat kira-kira 190,000 warga emas di bandar tersebut yang telah disahkan memerlukan penjagaan kejururawatan.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir 250,000 menjelang 2040.

Bagi mengatasi cabaran itu, kerajaan bandar telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Shiseido dan bermula April, lebih 60 sesi kecantikan diadakan setiap tahun terutama di rumah-rumah jagaan warga emas.

“Saya berharap dengan solekan, warga emas dapat menjalani hari-hari mereka dengan lebih positif dan bersemangat,” kata Datuk Bandar Yokohama, Takeharu Yamanaka.

Syarikat Fancl turut tampil dengan inisiatif serupa bagi membantu pesakit kanser yang menghadapi perubahan kulit akibat rawatan radiasi.

Mereka melancarkan laman web khas untuk memberikan tip solekan dan pemilihan pakaian kepada pesakit.

Malah, Fancl juga menganjurkan kelas kecantikan untuk golongan cacat penglihatan.

Dalam sesi tersebut, jurulatih akan menyolek separuh wajah peserta dan peserta akan cuba menyiapkan separuh lagi secara kendiri.

“Saya pernah putus asa untuk bersolek selepas kehilangan penglihatan. Tapi kini, saya rasa bersemangat untuk keluar rumah semula,” kata salah seorang peserta yang menyertai program itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram