Menantu ajar cara menaip, nenek 90 tahun berjaya genggam ijazah bidang sastera Inggeris


  • Sukses
  • Rabu, 15 Okt 2025

Maryette McFarland berjaya merangkul segulung ijazah pada usia 90 tahun. — Agensi

SEORANG wanita warga emas mencuri perhatian dunia selepas menamatkan pengajian pada usia 90 tahun.

Maryette McFarland dari Londonderry, Ireland Utara juga berjaya merangkul Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesusasteraan Inggeris di Open University (OU).

"Ia sesuatu yang sukar untuk saya percaya dan memang mengambil masa sangat lama," katanya.

BACA LAGI: Hijrah ibu jadi pencetus idea, pengasas Edna Scarf kreatif reka tudung sekolah '2 in 1', elak anak tudung selalu hilang

BACA LAGI: Uniknya jurufoto muda berbusana tradisional Jawa, cetusan idea pesara polis tarik perhatian pelancong

Shauna (kiri) menemani ibunya sepanjang majlis konvokesyen berlangsung. — Agensi

Pada Selasa lalu, Maryette menjadi antara graduan tertua dalam kalangan lebih 300 pelajar yang diraikan dalam majlis konvokesyen OU di Waterfront Hall, Belfast.

Kisahnya sekali gus menunjukkan simbol ketabahan, kesabaran dan semangat agar sentiasa tidak berputus asa.

Kejayaannya juga didorong dengan bantuan rakan, pensyarah dan ahli keluarga.

Menurutnya, cinta dan takdir yang menentukan perjalanan hidupnya kini.

Awalnya, Maryette memulakan pengajian di sebuah universiti di Dublin, Ireland pada 1960-an namun, terpaksa menghentikannya selepas bertemu jodoh dan berkahwin.

Beberapa dekad kemudian, beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya sekali gus memberi semangat baharu buatnya untuk menyambung pengajiannya semula di OU.

"Saya ada sedikit masa terluang ketika itu, jadi saya fikir kenapa tidak saya lakukan sesuatu yang berfaedah.

"Belajar dalam talian ternyata satu cabaran pada masa-masa tertentu.

"Bagaimanapun, keluarga termasuk empat anak, cucu dan cicit saya sangat hebat.

"Saya sangat teruk dengan teknologi, tetapi mendapat banyak bantuan daripada keluarga," katanya sambil menambah bahawa menantunya turut mengajarnya cara menaip.

 

 

 

 

Katanya, ia turut dibantu oleh para pensyarah yang cantik dan tidak lokek menghulurkan bantuan.

Seorang daripada anaknya, Shauna Gailey yang menemaninya ke majlis graduasi itu berkata, keluarganya amat berbangga dengan pencapaian ibunya.

"Ibu saya seorang pelajar ijazah sarjana muda sepenuh masa pada usia 90 tahun.

"Itu sesuatu yang sangat luar biasa. Beliau pernah menyesal kerana tidak sempat menamatkan pengajian di Trinity College Dublin dahulu.

"Tetapi kini, impian itu akhirnya menjadi kenyataan," jelasnya.

Ibunya juga sangat komited terhadap pelajarannya sehingga sering dilihat duduk di sofa dikelilingi timbunan buku dengan komputer riba dan tablet.

Maryette pada masa sama menitipkan pesanan bagi mereka yang beranggapan sudah terlambat untuk menimba ilmu.

"Kalau saya boleh lakukannya, sesiapa pun boleh. Belajar itu tidak pernah terlambat," ucapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram