[VIDEO] Beruang masuk sekolah kali kedua, seret murid tahun 6 masuk hutan


  • Maya
  • Selasa, 23 Dis 2025

Kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai Aarav (kiri) ditemui di kawasan semak berhampiran dengan beberapa kecederaan akibat cakaran beruang. — Agensi

KONFLIK manusia dan haiwan liar di kawasan perbukitan Uttarakhand, India terus menimbulkan kebimbangan selepas seorang murid lelaki diseret keluar dari bilik darjahnya dalam serangan beruang kedua di sekolah yang sama, pada Isnin lalu.

Dalam kejadian mengejutkan di kawasan perbukitan Pokhari, daerah Chamoli, seekor beruang dilaporkan memasuki kawasan Sekolah Menengah Rendah Harishankar sebelum mengangkat seorang murid Tahun Enam dari dalam bilik darjah dan melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

Bagaimanapun, tindakan pantas dan berani guru serta pelajar lain berjaya memaksa haiwan itu melepaskan mangsa.

BACA LAGI: Tragedi ketika cari hasil hutan, lelaki Ipoh parah diserang beruang matahari

BACA LAGI: Hanya mahu lindungi anak, ibu beruang serang pendaki ceroboh kawasan

 

 

Kanak-kanak tersebut yang dikenal pasti sebagai Aarav, ditemui di kawasan semak berhampiran dengan beberapa kecederaan akibat cakaran beruang.

Menurut kakitangan sekolah yang enggan dikenali, suasana panik tercetus sebaik beruang itu dilihat berkeliaran di dalam kawasan sekolah.

Ujarnya, pintu-pintu bilik darjah segera ditutup, namun haiwan berkenaan bertindak agresif dengan menghentam pintu sebelum berjaya menarik seorang pelajar keluar.

“Pelajar-pelajar ketakutan dan bersembunyi di dalam bilik darjah.

"Kami tidak menyangka beruang itu mampu bertindak sejauh ini,” katanya menerusi satu rakaman video.

Tambahnya, keberanian guru dan pelajar yang meluru ke arah beruang itu menyebabkan haiwan berkenaan melarikan diri, meninggalkan Aarav yang cedera.

“Kami tidak faham mengapa pihak pentadbiran masih belum mengambil langkah tegas untuk melindungi keselamatan pelajar," ceritanya lagi.

Difahamkan, serangan serupa berlaku hanya beberapa hari lalu di kawasan lain.

"Walaupun nyawa Aarav berjaya diselamatkan, ketakutan kini menyelubungi seluruh sekolah. Semua orang trauma,” katanya.

Rakaman video berkenaan turut memaparkan beberapa pelajar menangis selepas menyaksikan kecederaan yang dialami rakan mereka.

Dua hari sebelum insiden tersebut, seekor beruang dilaporkan menyerang seorang lagi pelajar dari sekolah sama ketika dalam perjalanan pulang selepas tamat sesi persekolahan.

Susulan kejadian berulang itu, pihak kerajaan mengerahkan pengiring bagi memastikan keselamatan kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah di kawasan terjejas.

Sementara itu, di Jolly Grant, pengawal hutan di bawah Thano Forest Range kini ditugaskan mengiringi pelajar ke sekolah ekoran beberapa laporan penampakan beruang di kawasan perbukitan.

Dalam kejadian berasingan, dua ekor beruang dilaporkan mencederakan seorang wanita dengan serius di Kampung Kameth (Sod), di bawah Panchayat Gadool, ketika mangsa ke ladang untuk mengutip rumput beberapa hari lalu.

Sejak itu, ketakutan terus menyelubungi penduduk setempat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan wanita yang terpaksa memasuki hutan bagi mencari makanan ternakan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram