BAYI yang baru dilahirkan sama sekali tidak dibenarkan diberi minum susu kambing, lembu atau mana-mana haiwan, selain susu ibu dan susu formula khas bayi.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Imelda Balchin menegaskan, tindakan itu berisiko menjejaskan kesihatan bayi sehingga boleh menyebabkan kematian.
Menurutnya, beliau baru-baru ini dimaklumkan seorang peguam pendakwa raya berhubung kes bayi baru lahir yang diberi minum susu kambing hingga menyebabkannya meninggal dunia.
BACA LAGI: Wakili Malaysia di tayangan perdana 'Wicked', Aisya Retno sempat berduet dengan Ariana Grande
Dr. Imelda berkata, keperluan pemakanan bayi manusia tidak sama dengan anak haiwan, justeru susu haiwan tidak sesuai diberikan kepada bayi yang sistem pencernaan dan buah pinggangnya masih belum matang.
“Kalau kalian kata susu kambing itu sunah sekalipun, kena tahu Rasulullah SAW sendiri tak minum susu kambing semasa bayi. Baginda ada ibu susuan manusia," tulisnya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Dr. Imelda turut menggariskan beberapa faktor utama susu haiwan tidak sesuai untuk bayi berusia bawah setahun:
1) Kandungan protein terlalu tinggi
Protein dalam susu haiwan sukar dihadam oleh usus bayi yang belum matang dan boleh mencetuskan reaksi alahan.
2) Kandungan garam sodium dan potassium yang tinggi
Beban garam tersebut sukar diproses oleh buah pinggang bayi dan boleh menyebabkan dehidrasi teruk serta kerosakan buah pinggang.
3) Kekurangan folat dan vitamin B
Ia boleh mengakibatkan kekurangan sel darah merah atau megaloblastic anaemia.
4) Tidak mengandungi asid lemak penting yang mencukupi
Asid lemak ini sangat diperlukan untuk perkembangan otak dan tubuh bayi.
5) Risiko jangkitan bakteria
Susu yang tidak menjalani proses pempasteuran atau dimasak berisiko membawa bakteria berbahaya yang boleh membawa maut.
Alternatif selamat
Menurut Dr. Imelda, sekiranya bayi tidak mendapat susu ibu, susu formula merupakan alternatif yang selamat kerana ia diformulasikan khas untuk memenuhi keperluan nutrisi bayi manusia.
“Susu ibu adalah formula semula jadi terbaik untuk bayi. Susu formula pula diubah suai daripada susu haiwan agar sesuai dengan sistem tubuh bayi,” katanya.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya hanya memperkenalkan susu haiwan selepas bayi berusia setahun ke atas dan itupun mestilah susu yang telah dipanasakan, disteril atau dimasak dengan sempurna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
