'Orang tak tahu susah kita', MUA terpaksa bawa 2 anak OKU mekap klien, tenang ada depan mata


  • Bonda
  • Isnin, 22 Dis 2025

MUA tersebut akan sentiasa membawa anak-anaknya ke mana sahaja beliau pergi. — Gambar hiasan

BERBEZA dengan individu lain yang memilih untuk tidak membawa anak ke tempat kerja, seorang jurusolek (MUA) terpaksa membawa bersama dua anak pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) ke setiap lokasi tugasnya.

Menurut wanita itu, tanggapan jurusolek yang membawa anak ke lokasi solekan dianggap kurang profesional dan tidak menghormati pelanggan adalah tidak adil, apatah lagi tanpa memahami situasi sebenar dihadapinya.

Beliau menjelaskan, kedua-dua anaknya merupakan kanak-kanak istimewa, dengan anak sulung berusia 14 tahun menghidap Sindrom Asperger, manakala seorang lagi berusia 11 tahun mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD) tahap sederhana hingga teruk.

BACA LAGI: Henti diskriminasi warna kulit, air kelapa bantu lahir bayi ‘kulit putih’ cuma mitos — Dr. Imelda Balchin

BACA LAGI: Manusia tak sama macam haiwan, 5 sebab bayi baru lahir tak sesuai minum susu kambing

 

 

“Saya adalah MUA yang akan sentiasa bawa anak-anak syurga ini ke mana sahaja saya pergi.

"Kenapa? Anak saya kedua-duanya pemegang kad OKU. Kakak 14 tahun menghidap Asperger Syndrome, manakala adik 11 tahun, Moderate-Severe ASD.

"Lagipun saya seorang single PJJ mother (ibu yang mengurus anak-anak sendirian akibat perkahwinan jarak jauh).

"Memang tak percayakan sesiapa pun untuk jaga,” katanya menerusi hantaran di akaun Threads lilixamri pada Ahad.

Wanita itu turut berkongsi beberapa insiden mencemaskan yang pernah berlaku ketika cuba meninggalkan anak-anak di bawah jagaan orang lain.

Antaranya, ketika ditinggalkan bersama ibunya sendiri, salah seorang anak cuba melarikan diri dengan memanjat pagar sehingga menyebabkan ibunya terjatuh dan mengalami kecederaan serius pada tulang belakang, sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

Percubaan meninggalkan anak-anak bersama ibu bapa mentua pula berakhir dengan beberapa kejadian anak-anak keluar dari rumah tanpa disedari.

“Mujur mereka tidak jatuh ke dalam tali air atau digilis lori di jalan raya,” katanya.

Tambahnya, ketika menggunakan khidmat pengasuh berbayar pula, beliau sering menerima panggilan disebabkan anaknya mengamuk dan meminta supaya segera mengambil mereka.

Akibat pengalaman tersebut, wanita itu membuat keputusan untuk membawa kedua-dua anak ke setiap lokasi kerja, walaupun sedar berdepan pelbagai pandangan negatif.

"Orang tak tahu susah, kerisauan kita sebagai ibu kepada dua anak autisme.

“Anak-anak perlu berada di depan mata supaya hati saya tenang.

"Saya perlu tahu mereka selamat dan gembira kerana mama ada bersama mereka,” ceritanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram