[VIDEO] Pemuda Aceh redah tanah runtuh, jalan kaki sejauh 136km demi 'halalkan' bakal isteri


  • Cinta
  • Isnin, 22 Dis 2025

Handoko melangsungkan perkahwinannya dengan Uliya pada 8 Disember lalu. — Agensi

DEMI menyempurnakan majlis perkahwinannya, seorang pemuda dari Aceh Tengah, Indonesia sanggup menempuh perjalanan ekstrem sejauh 136 kilometer (km) dengan berjalan kaki, meredah laluan terputus akibat tanah runtuh dan banjir kilat.

Ahmad Handoko, 25, menjadi perhatian ramai selepas kisah pengorbanannya tular di media sosial.

Pemuda itu berjalan dari Takengon ke Lhoksukon semata-mata mahu bertemu bakal isterinya, Uliya, 21, dan melangsungkan pernikahan pada 8 Disember lalu.

BACA LAGI: Mahu suami lihat rupa sebenar, wanita 'berani' tampil tanpa mekap pada hari perkahwinan

BACA LAGI: Pertemuan 'terakhir' di unit forensik, bakal suami meninggal dunia dalam tidur 8 jam sebelum akad nikah

Tidak hanya jauh, perjalanan tersebut juga berbahaya disebabkan jalan utama terputus sepenuhnya akibat bencana alam.

Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangat Handoko yang tekad untuk menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, pakaian Handoko dilihat dipenuhi lumpur ketika merentasi laluan berbatu dan mendaki tebing sungai bagi melepasi kawasan yang runtuh.

“Syukur kepada Tuhan, saya selamat dan kini berada di rumah mentua. Majlis perkahwinan kami berjalan lancar pada 8 Disember lalu,” katanya.

Menurut Handoko, perjalanan mencabar itu bermula pada 5 Disember lalu.

Pada awalnya, dia menumpang motosikal rakan sebelum terpaksa meneruskan perjalanan berjalan kaki selama hampir empat jam dari Buntul ke Gunung Salak kerana laluan tidak dapat dilalui kenderaan.

Walaupun bersyukur impiannya untuk berkahwin tercapai, Handoko mengakui hatinya tetap dilanda kesedihan apabila terpaksa menghadiri majlis pernikahan tanpa kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga terdekat.

“Saya pergi bersendirian. Sangat sedih apabila ibu bapa dan abang saya tidak dapat hadir.

"Mujur salah seorang saudara saya yang belajar di Lhokseumawe sudi menjadi saksi,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram