Mahu suami lihat rupa sebenar, wanita 'berani' tampil tanpa mekap pada hari perkahwinan


  • Cinta
  • Khamis, 18 Dis 2025

Madison Azevedo tampil berwajah asli tanpa sebarang solekan pada hari perkahwinannya. — Agensi

KEBERANIAN seorang pengantin wanita tampil menawan tanpa solekan pada hari perkahwinannya mencuri perhatian ramai apabila kisahnya tular di laman sosial.

Lebih menarik, rata-rata warganet cukup terpesona dengan kecantikan semula jadi dan keaslian wajahnya yang sangat menawan persis puteri.

Nama Madison Azevedo, 26, meniti di bibir masyarakat selain video perkahwinan yang dimuat naik turut meraih lebih empat juta tontonan di TikTok.

BACA LAGI: Semangat muhibah Malaysia, 'uncle' Cina luang masa hadir sekolah, sain kad laporan anak jiran bangsa India

BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet

Menurut wanita asal Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) itu, keputusan tersebut dibuat kerana mahu suaminya mengahwininya dalam keadaan diri beliau yang sebenar, bukan versi dibentuk oleh solekan semata-mata.

Malah, beliau turut mengakui tidak pernah memakai alat solek dalam kehidupan seharian dan enggan kelihatan berbeza pada hari perkahwinannya sendiri.

"Saya mahu dia melihat bukan rupa yang orang lain sangkakan sepatutnya saya kelihatan," katanya.

Perkahwinan pasangan itu sendiri turut dirancang secara sederhana dan peribadi, sejajar dengan prinsip keaslian yang dipegang Azevedo.

Majlis tersebut digambarkan sebagai ringkas namun elegan dengan kebanyakan hiasan diperoleh dari kedai barangan antik atau hasil usaha sendiri (DIY), menjadikan momen bahagia itu lebih bermakna.

"Banyak hiasan kami ambil dari kedai antik atau buat sendiri dan itu membuatkan semuanya terasa sangat istimewa.

"Kami mengehadkan jemputan kepada rakan rapat dan keluarga sahaja, pengacara kami juga membuat kejutan dengan mengadakan pertunjukan bunga api di penghujung malam, satu detik yang benar-benar ajaib," katanya.

Baginya, jika sesebuah perkahwinan itu ingin kekal bahagia, penampilannya juga harus mencerminkan kejujuran yang sama.

Selain itu, pengalaman lampau turut mempengaruhi keputusannya termasuk penyesalan selepas memakai solekan tebal ketika menghadiri majlis serta kenangan pahit membesar dengan menggunakan alat solek untuk menutup jerawat.

"Saya mahu orang melihat saya, bukan produk pada wajah saya, menjaga kulit saya terasa lebih baik daripada menutupnya," katanya.

Menurutnya, satu-satunya solekan yang digunakan hanyalah pelembab bibir biasa dan satu lagi gincu dengan sedikit warna.

Mengulas reaksi suaminya terhadap penampilannya, Azevedo berkata, pasangannya memberikan sokongan penuh dan sangat gembira dengan pilihannya.

"Dia mahu saya berasa cantik dan yakin sebagai diri saya sendiri," ujarnya.

Azevedo turut mengakui sempat berasa bimbang keputusannya itu mungkin kelihatan janggal pada hari perkahwinan.

Namun, suaminya segera meyakinkannya bahawa dia tidak perlu berubah atau tunduk kepada sebarang jangkaan luar.

"Kerana itulah diri saya,” katanya mengulangi pesanan suaminya.

Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada ribuan pengguna TikTok, termasuk bakal pengantin lain yang turut berkongsi impian tampil tanpa solekan pada hari perkahwinan masing-masing. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram