Remaja bibir hitam bukan sebab rokok, usus rosak dek tabiat pemakanan gluten tinggi


  • Bonda
  • Rabu, 17 Dis 2025

Seorang remaja mengalami kesan bibir dan gigi hitam akibat pengambilan makanan tinggi gluten tidak terkawal.

TABIAT pemakanan kanak-kanak yang didominasi makanan tinggi gluten, gula dan produk tenusu kini semakin membimbangkan.

Bukan sahaja menjejaskan tumbesaran, malah berpotensi merosakkan fungsi usus serta mencetuskan pelbagai masalah kesihatan jangka panjang.

 

Perkara itu dikongsikan seorang ibu, Nurul Aini Mohd Noor menerusi perkongsian di laman Facebook berdasarkan pengalaman membesarkan anaknya.

BACA LAGI: Jangan cepat menghukum jika remaja menjauhkan diri, empati kunci baiki hubungan anak dan ibu bapa

BACA LAGI: Pelik anak depan orang petah bercakap tapi di rumah diam seribu bahasa, 5 cara atasi 'speech inhibition'

Menurutnya, naluri untuk memenuhi setiap kehendak anak adalah satu lumrah sebagai seorang ibu dan apa sahaja yang diminta, pasti akan ditunaikan. 

Kesan daripada itu, anak lelakinya Abid, kini merupakan ‘picky eater’ dan sangat memilih dalam pemakanan dengan remaja di Tingkatan Satu itu sangat gemar makanan berasaskan tepung gandum seperti roti, roti canai serta mi segera.

Tanpa ilmu pemakanan yang mencukupi, Nurul Aini mengakui dia hanya menuruti kemahuan anaknya sehinggalah satu peristiwa yang berlaku pada tahun lalu, membuka matanya. 

Ketika Abid menghadiri sesi temu duga kemasukan ke sekolah menengah Tingkatan Satu, dia kerap diajukan soalan sama ada merokok atau tidak.

"Tahun lepas, semasa Abid menghadiri temu duga kemasukan sekolah menengah Tingkatan Satu, hampir setiap orang akan bertanyakan kepada Abid, awak ni merokok ke?".

"Terkejut kami apabila Abid menceritakan semula kepada kami apa yang ditanya oleh penemuduga. 

"Kami mula memerhatikan bibir Abid kerana selama ini, kami ingatkan disebabkan tabiat dia yang suka menggigit bibir yang menyebabkan ia bertukar menjadi warna hitam," katanya.

Soalan sama terus diajukan oleh rakan sebaya, pelajar senior malah guru-guru, menyebabkan remaja terbabit berasa tertekan dan rendah diri. 

Buntu mencari punca, Nurul dan suaminya mengambil inisiatif mendapatkan pandangan pakar kerana selain masalah bibir hitam, Abid juga mengalami kegatalan teruk di bahagian siku.

Hasil pemeriksaan lanjut, Abid disahkan mengalami keradangan di seluruh badan yang berpunca daripada pengambilan makanan bergluten, makanan tinggi gula serta makanan diproses. 

Menurut Nurul, tabiat pemakanan tersebut telah menyebabkan fungsi usus anaknya rosak teruk.

Selepas menjalani rawatan selama beberapa bulan, perubahan positif mula dapat dilihat dengan kesan hitam di bibir Abid semakin pudar  manakala kulit di bahagian sikunya kembali sihat.

"Kasihan anak-anak saya ketika saya tiada ilmu pemakanan sihat ini dulu, sebab nak cepat, nak senang, nak murah punya pasal.

"Ya, memang kami berjihad melawan nafsu malas, nafsu nak cepat, nafsu nak mudah, nak sedap di tekak.

"Jihad nak berhenti makan roti, kek, pastri, biskut yang sedap, tetapi mengandungi gluten dan akan membawa mudarat kepada kesihatan kami," ujarnya.

Akui perubahan gaya hidup dan pemakanan memerlukan pengorbanan besar, Nurul menyifatkan usaha itu sebagai satu perjuangan melawan nafsu demi kesihatan keluarga. 

Katanya, ada masanya mereka kuat dan ada kalanya tewas, namun usaha untuk terus memperbaiki diri tetap diteruskan.

Dengan niat menjaga amanah tubuh badan yang dikurniakan, Nurul berharap usaha tersebut dapat menjadikan dirinya serta keluarga lebih sihat serta mampu beribadah dengan konsisten hingga ke akhir hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram