SETIAP ibu bapa pastinya menyimpan harapan besar melihat perkembangan anak-anak, walaupun perjalanan dilalui tidak sama seperti kebanyakan keluarga lain.
Bagi ibu bapa kepada anak berkeperluan khas, setiap kemajuan walaupun kecil adalah satu nikmat besar yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Pelakon dan penyanyi, Azza Elite, meluahkan rasa syukur apabila anaknya yang didiagnosis autisme kini sudah mampu menyebut tiga patah perkataan dan membaca doa kegemarannya sendiri selepas tujuh tahun menanti.
BACA LAGI: Mahu suami lihat rupa sebenar, wanita 'berani' tampil tanpa mekap pada hari perkahwinan
Perkongsian penuh emosi itu dimuat naik Azza menerusi laman Threads dan mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.
Menurutnya, selepas bertahun-tahun menunggu, mendengar tiga patah perkataan keluar dari mulut anaknya, Adam, sudah cukup sempurna dan bermakna buat dirinya sebagai seorang ibu.
"Tujuh tahun nak dengar dia cakap macam ni, untuk momies yang ada anak autisme macam saya mesti saya rasa tiga patah keluar dari mulut Adam dah cukup sempurna.
"Slowly but surely boleh baca doa yang dia suka pun kami bersyukur pun kami bersyukur.
"Ada ke mami yang sama macam kakza, say hi, ceritakan your journey, macam kakza Adam terima arahan dengan baik pada enam dan tujuh tahun," ujarnya.
Namun, beliau tidak menafikan membesarkan anak berkeperluan khas memerlukan lebih banyak masa, perhatian dan pengorbanan terutama apabila fokus lebih tertumpu kepada keperluan anak tersebut.
Dalam video tersebut, Adam yang kini berusia tujuh tahun turut memperkenalkan nama dan dirinya sekali gus menyentuh hati ramai warganet.
Kejujuran dan kesederhanaan momen itu secara tidak langsung menjadi simbol harapan buat ramai ibu bapa luar sana yang masih menanti perkembangan anak mereka.
Sekadar info, Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari merupakan bekas ahli kumpulan Elite, kumpulan pop wanita terkenal ketika era 90-an.
Usahawan Kekza by Azza Elite berusia 48 tahun itu pernah melalui ujian berat dalam kehidupan peribadinya apabila mengalami keguguran sebanyak empat kali sepanjang tempoh perkahwinannya.
Keinginan untuk menimang cahaya mata akhirnya membawa kepada keputusan untuk mengambil Marissa sebagai anak angkat ketika beliau mendirikan rumah tangga bersama Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Namun, rumah tangga berakhir dengan perceraian pada pertengahan November 2004 dan sejak itu, Azza membesarkan Marissa secara sendirian.
Pada 2012, Azza kembali mendirikan rumah tangga bersama Azlan Zulaily dan mengambil seorang lagi anak angkat lelaki, Muhammad Adam pada 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
