'Moga beri inspirasi luar sana', suami bangga isteri wanita pertama jadi pemandu monorel di RapidKL


  • Sukses
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Farah mengubah stigma masyarakat dengan kerjayanya sebagai pemandu monorel wanita pertama di Malaysia.

SEIRING perubahan zaman, ramai wanita kini tampil memecahkan stereotaip dan membuktikan kemampuan mereka dalam bidang yang sebelum ini didominasi lelaki.

Keberanian mencuba sesuatu yang baharu, walaupun berdepan pandangan skeptikal, menjadi bukti bahawa jantina bukan penghalang untuk berjaya dalam kerjaya diceburi.

Seorang individu dikenali sebagai Farah, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul wanita pertama berkhidmat sebagai pemandu monorel di bawah kendalian RapidKL.

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet

Perkongsian pengalamannya menerusi sebuah video tular mencuri perhatian ramai apabila beliau menceritakan perjalanan awalnya menceburi kerjaya tersebut.

Menurutnya, pada mulanya beliau menyangka jawatan yang dipohon hanyalah berkaitan tugasan pentadbiran.

Namun, sebaik dimaklumkan bahawa dia sebenarnya diterima sebagai pemandu tren, perasaan terkejut dan ragu menyelubungi dirinya.

Tanpa sebarang latar belakang teknikal, Farah mengakui hampir tidak percaya apabila dimaklumkan bahawa merupakan wanita pertama yang membawa monorail di Kuala Lumpur.

"Saya tak ada basic untuk teknikal mula-mula saya masuk sini tu saya baru tahu yang tak ada perempuan

"Haa? Semua lelaki lepas tu dia cakap awak lah perempuan pertama yang bawa monorail jadi diorang kata tu dah melanggar adat sebab monorel ni lelaki," katanya.

Dalam pada itu, Farah turut berkongsi rutin hariannya sebagai pemandu monorel.

Waktu kerjanya bermula seawal 4.30 pagi, dengan tren pertama berada di laluan utama sekitar lima pagi untuk menjalani prosedur tertentu sebelum membawa penumpang.

Beliau menjelaskan setiap perjalanan memerlukan pemeriksaan keselamatan rapi termasuk senarai semak, sistem radio, isyarat dan arahan daripada pusat kawalan.

Sementara itu, di ruangan komen suaminya turut menitip ucapan positif dan bangga atas pencapaian isterinya.

"Hebat isteriku semoga memberi inspirasi kepada wanita di luar sana juga," tulisnya ringkas namun penuh makna.

Mengimbas kembali perjalanan awal kerjayanya, Farah mengakui bukan mudah untuk menerima hakikat bahawa dia berada dalam bidang yang asing dan mencabar.

Namun, dorongan untuk mencuba serta keinginan mengatasi rasa takut membuatkan dia terus bertahan selain turut menitip pesanan kepada golongan wanita di luar sana agar tidak takut untuk mencuba bidang yang dianggap sukar atau mencabar.

Baginya, jawatan sebagai pemandu monorel adalah satu amanah besar yang menjadi rebutan ramai, justeru ia perlu dihargai sepenuh hati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram