Pernah derma kaki palsu, 2 sahabat beza benua kembali bertemu lepas 16 tahun terpisah


  • Cinta
  • Khamis, 18 Dis 2025

Sejin dan Neldi kembali bersua muka selepas lebih 16 tahun terpisah. — Agensi

NILAI persahabatan sejati yang dibina atas empati dan pengorbanan kembali menyentuh hati ramai apabila kisah dua sahabat terpisah antara dua benua, kembali bersua muka baru-baru ini.

Pertemuan semula antara Sejin yang dikenali sebagai 'si kaki robot' dan Neldi selepas 16 tahun bukan sekadar kisah biasa, sebaliknya simbol kekuatan jiwa serta harapan yang tidak pernah padam meskipun diuji dengan kecacatan fizikal sejak kecil.

Kisah itu bermula di Pulau Sumba, Indonesia apabila Neldi yang ketika itu berusia tujuh tahun terlibat kemalangan yang mengubah seluruh hidupnya.

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet

Namun, akibat kekurangan akses kepada rawatan perubatan, keluarganya percaya bahawa kejadian tersebut berpunca daripada gangguan roh jahat.

Neldi kemudian dibawa mendapatkan rawatan bomoh di mana kakinya dibalut dengan daun buluh dan dibiarkan selama sebulan.

Malangnya, rawatan itu bukan sahaja gagal menyembuhkan, malah menyebabkan jangkitan serius sehingga kakinya menjadi reput dan akhirnya terpaksa dipotong.

Kehilangan kaki itu memberi kesan besar kepada emosi dan keyakinan diri Neldi hinggakan dia berhenti bersekolah selama setahun serta berdepan tekanan di fasa kanak-kanak.

Titik perubahan berlaku pada 2009 apabila Neldi bertemu Sejin dalam sebuah acara anjuran badan amal Kristian global yang memberi tumpuan kepada pembangunan holistik kanak-kanak kurang bernasib baik.

Dalam pertemuan tersebut, Sejin berkongsi kisah hidupnya yang dilahirkan tanpa kaki kanan dan hanya mampu berjalan selepas menjalani pembedahan pada usia empat tahun.

"Saya berdoa untuk kaki yang kuat dan abang yang kuat, tetapi mengapa seseorang yang kecacatannya lebih teruk datang kepada saya?" katanya.

Dilahirkan dengan kecacatan hampir serupa, Sejin berasakan seakan melihat dirinya dalam versi lain lalu mendorong membuat satu keputusan besar dengan mendermakan kaki palsu yang telah digunakan sejak kecil kepada Neldi.

"Apabila kami mencubanya, ketinggian dan saiz kaki kami ternyata sama," ujar Sejin, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

Sejak itu, kehidupan Neldi mula berubah kerana dengan kaki palsu tersebut, keyakinan dirinya kembali pulih dan semangat untuk bersekolah.

Selepas 16 tahun terpisah oleh jarak dan masa, takdir sekali lagi menyatukan mereka apabila baru-baru ini, Sejin bersama keluarganya berkunjung ke Indonesia untuk menghadiri hari graduasi Neldi yang berjaya menamatkan pengajian di sebuah universiti.

Pertemuan semula itu bukan sahaja menjadi detik penuh emosi, malah mengingatkan masyarakat bahawa keikhlasan dan pengorbanan, walaupun kelihatan kecil mampu mengubah seluruh perjalanan hidup seseorang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram