Wakili Malaysia di tayangan perdana 'Wicked', Aisya Retno sempat berduet dengan Ariana Grande


  • Maya
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Aisya Retno berpeluang menyanyi duet bersama Ariana Grande dan Cynthia Erivo pada tayangan perdana filem Wicked: For Good di Singapura.

ACARA tayangan perdana filem Wicked: For Good di Singapura bukan sahaja menjadi pentas pertemuan bintang antarabangsa, tetapi turut mencuri perhatian apabila penyanyi Malaysia, Aisha Retno berpeluang bertemu idolanya, Ariana Grande dan Cynthia Erivo.

Aisha yang hadir sebagai wakil Malaysia, berkongsi rasa sebak dan teruja apabila dapat bertentang mata dengan dua selebriti Hollywood itu yang dianggap telah banyak memberi inspirasi dalam perjalanan seninya.

"Crying crying crying. @wickedmovie. Saya mewakili Malaysia untuk tayangan perdana filem Wicked. Saya sayang Ariana, saya sayang Cynthia.

"Dua figura hebat ini benar-benar mengubah saya menjadi lebih baik.

“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH, saya sudah menjadi peminat mereka sejak dulu. Terima kasih kepada UIP Malaysia atas peluang keemasan ini. Glinda dubber Malaysia signing off!" kongsinya di laman Instagram.

 

 

 

Tidak sekadar bertentang mata, pelantun lagu Sutera tersebut turut memanfaatkan momen berharga tersebut dengan nyanyian duet lagu runut bunyi For Good bersama kedua-dua idolanya itu.

Aisha sebelum ini dipilih sebagai penyumbang suara (dubber) watak Glinda dalam versi alih suara Bahasa Melayu bagi filem Wicked, sekali gus menjadikannya antara wakil Malaysia yang mendapat kepercayaan produksi antarabangsa.

 

Ariana diserang peminat

Kemeriahan acara itu bertukar kecoh seketika apabila Ariana didakwa diserang oleh seorang peminat fanatik ketika berada di laluan karpet kuning.

Ketika majlis berlangsung, suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lelaki meluru pantas ke arah Ariana Grande sebelum didakwa memeluk penyanyi berusia 32 tahun berkenaan.

Ariana ketika itu sedang berjalan bersama Cynthia Erivo, Michelle Yeoh dan Jeff Goldblum nyata tersentak dengan insiden itu sebelum dibantu beberapa pengawal ketika kejadian.

Dalam beberapa video tular, pasukan keselamatan segera campur tangan, manakala Michelle Yeoh turut kelihatan menenangkan Ariana selepas insiden itu.

 

 

Menurut laporan agensi, pelaku dikenal pasti sebagai Johnson Wen, personaliti media sosial dengan gelaran 'Pyjama Man'.

Malah, individu terbabit dikatakan turut memuat naik video insiden itu ke akaun Instagramnya yang mempunyai sekitar 9,000 pengikut.

"@arianagrande @wickedmovie Ariana Grande yang dihormati, terima kasih kerana membenarkan saya melompat di Permaidani Kuning bersama anda," tulisnya.

Sekadar info, Wen bukan dilaporkan individu asing dalam dunia hiburan Singapura selepas didakwa berulang kali mencetuskan kekecohan, termasuk berlari naik ke pentas konsert Katy Perry dan The Weeknd sebelum ini.

Tindakannya mengundang kecaman ramai pengguna media sosial yang menyifatkan perkara itu sebagai berbahaya dan tidak menghormati privasi selebriti.

Rata-rata menegaskan insiden sebegini boleh mengancam keselamatan artis serta merosakkan pengalaman dalam acara rasmi seperti tayangan perdana.

Pun begitu, acara acara tersebut tetap diteruskan dengan lancar, namun detik cemas itu menjadi antara perbualan hangat di platform digital sementara peminat di Malaysia pula tidak ketinggalan meraikan pencapaian Aisha Retno di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram