BALU kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Ezette, 47, berkongsi luahan hati mengenai detik-detik sukar yang dilalui keluarganya selepas pemergian suami tercinta pada 5 Disember lalu.
Bukan mencari simpati, sebaliknya bekas pelakon itu mengakui dirinya sekadar meluahkan duka terpendam, apalagi sifatnya yang lebih selesa menyimpan perasaan sendiri.
Menurutnya, kesedihan paling meruntun jiwa adalah apabila melihat anak-anak merindui arwah bapa mereka.
BACA LAGI: 'Ada doa tanpa kata-kata, hanya air mata,' Zizie Izette luah rasa hiba pemergian Bung Moktar
“Bermula dengan Aadam. Pada tengah malam ketika semua orang tidur, saya terdengar tangisan perlahan.
"Katanya sakit kepala tetapi sebagai ibu saya tahu, dia sebenarnya merindui ayahnya,” katanya dalam perkongsian di InstaStory pada Jumaat.

Tangkap layar luahan hati Zizie di InstaStory pada Jumaat.
Kakak kepada pelakon Shaheizy Sam itu turut berkongsi pengalaman sama dialami anaknya, Aaleph.
Ceritanya, beliau pada awalnya menyaksikan Aaleph menangis perlahan dalam gelap.
"Saya datang kepadanya dan selepas bertanya punca dia berbisik, 'saya rindu daddy' serta mula menangis teresak-esak," ujarnya.
Kongsi Zizie, kesedihan itu turut dirasai anak perempuan mereka, Aalisa yang tiba-tiba menangis ketika berlatih menyanyikan lagu Count On Me di sekolah.
“Gurunya perasan Aalisa jadi diam dan sedih. Apabila pulang ke rumah, dia beritahu saya dia sedih kerana teringat daddy,” katanya.
Menurutnya lagi, dua lagi anak mereka, Jenna dan Aaric juga merindui arwah bapa mereka, namun masing-masing menzahirkan perasaan itu dengan cara tersendiri.
Walaupun mengakui dirinya seorang wanita yang kuat, Zizie berkata, mendengar anak-anak kecilnya menanggung kesedihan dengan suara yang polos dan lembut sentiasa meruntun hatinya.
Beliau tetap memeluk dan menyayangi anak-anaknya sepanjang melalui dugaan itu serta percaya mereka akan berada dalam keadaan baik.
"Kami tidak hancur, kami hanya belajar bagaimana merinduinya dan terus melangkah ke hadapan," ugkapnya.
Untuk rekod, Zizie dan Allahyarham Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Pada 5 Disember lalu, Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
