Tak puas kerja korporat, bekas jurutera lupakan gaji besar, temui ketenangan dalam laut


  • Sukses
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Srimanimegala meninggalkan kerjaya korporatnya selepas menemui ketenangan di lautan. — Instagram/srimnmgl

KEHIDUPAN korporat mungkin berupaya menampung keperluan harian, tetapi ia tidak mampu memberi kepuasan jiwa buat Srimanimegala Sathiavelu.

Wanita berusia 28 tahun itu menemui ketenangan dan tujuan hidup yang dicari jauh dari pejabat, yakni di bawah lautan.

Graduan geosains petroleum itu meninggalkan jawatan bergaji tinggi selepas memperoleh lesen menyelam dan meluncur air.

BACA LAGI: [VIDEO] Megan sifatkan Gaudi Vita 'rakan pasukan' terbaik, raih emas 'dressage' gaya bebas individu pada Sukan Sea 2025

BACA LAGI: 'Ada doa tanpa kata-kata, hanya air mata,' Zizie Izette luah rasa hiba pemergian Bung Moktar

 

 

Beliau menamatkan pengajian semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika pasaran pekerjaan tidak stabil.

Jadi untuk menyara diri, Srimanimegala bekerja sebagai penghantar makanan lebih setahun sebelum mendapat pekerjaan sebagai jurutera geoteknikal di sebuah syarikat hartanah di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, ia bukan kehidupan yang saya mahukan dan gajinya juga agak rendah.

"Jadi saya memutuskan untuk berhenti, kemudian saya sertai syarikat minyak dan gas yang lain pada 2022,” katanya.

Beliau bekerja selama tiga tahun dengan pendapatan lumayan dan berpeluang mengembara, antaranya ke Filipina.

Dari situ, minatnya terhadap lautan mula tercetus. Walaupun ketika itu belum yakin berenang dan tidak memiliki lesen menyelam, inspirasinya hadir selepas melihat penyelam lain.

“Saya terus mendaftar untuk lesen menyelam air terbuka di Pulau Tioman dan mendapat lesen lanjutan tiga bulan kemudian di Pulau Perhentian.

"Semuanya terasa tenang di bawah air, berbeza dengan di darat.

"Semua yang saya dengar hanyalah pernafasan sendiri. Untuk kali pertama dalam masa yang lama, saya benar-benar berada dalam momen itu,” ujarnya.

Srimanimegala kini menjadi pencipta kandungan dan mengendalikan pengembaraan air melalui media sosial. — Instagram/srimnmgl 

Sesi menyelam membawa Srimanimegala ke Maldives, Pulau Weh di Indonesia dan lawatan singkat ke Sri Lanka, sehingga dirinya menemui minat baharu dalam sukan meluncur air.

Tegas wanita yang memiliki lebih 194,000 pengikut di Instagram itu, aktiviti meluncur bukan hanya untuk orang Barat, malah Malaysia juga mempunyai banyak lokasi sesuai untuk pemula.

“Saya tidak membelanjakan wang untuk kereta atau rumah, sebaliknya melabur dalam kursus menyelam dan kelas meluncur.

"Malah orang asing juga datang ke Malaysia untuk belajar sukan air,” ceritanya.

Beliau berhenti dari kerja korporat pada Ogos 2025 dan kini menjadi pencipta kandungan serta mengendalikan pengembaraan air melalui media sosial, sambil memperoleh pendapatan tambahan untuk menyara diri.

Kekerapan menyelam juga membuka mata Srimanimegala mengenai kesan tingkah laku manusia terhadap lautan, termasuk pencemaran plastik dan kerosakan terumbu karang.

Melihat penyelam lain memberi Srimanimegala inspirasi untuk mendapatkan lesen menyelam sendiri. — Instagram/srimnmgl 

“Terumbu karang sangat sensitif, ia boleh mati apabila warnanya pudar.

"Sebagai ‘penceroboh laut’, kita perlu menghormati kehidupan di dalamnya.

"Apabila berada di laut, saya lihat sendiri ikan mengunyah plastik dan sedar betapa seriusnya pencemaran bahan tersebut,” katanya.

Srimanimegala menekankan, rakyat Malaysia harus mengambil peluang menikmati alam, tetapi pada masa sama perlu memeliharanya.

“Mulakan dengan aktiviti snorkeling atau aktiviti mesra pemula kerana ia mampu milik dan mudah diakses di Malaysia,” pesan beliau. — The Star/DIVYA THERESA RAVI 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram