'Tak ada line sekarang', lelaki kecewa bapa biar anak nangis nak gajet, ganggu ketenteraman penumpang


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Situasi itu turut disedari penumpang lain yang kelihatan semakin tidak selesa melihat kanak-kanak tersebut menangis. — Gambar janaan AI

ANAK-ANAK zaman kini semakin sinonim dengan gajet, malah peranti digital sering menjadi peneman setia sejak usia yang masih kecil, sama ada di rumah mahupun tempat awam.

Kebergantungan itu sekali gus mencetuskan perdebatan tentang kesannya terhadap perkembangan emosi dan tingkah laku kanak-kanak.

Seperti dikongsi seorang individu baru-baru ini, beliau menyaksikan sendiri gelagat seorang kanak-kanak berusia kurang dua tahun yang menangis tanpa henti selama lebih sejam di dalam pesawat.

BACA LAGI: 'Mustahil' nak pisahkan anak dengan gajet, berikut panduan agar tak ketinggalan zaman

BACA LAGI: ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’, tanda kebergantungan digital kanak-kanak makin membimbangkan

Menurut Abdul Aziz Anwar, budak tersebut yang duduk di kerusi hadapannya mula menangis kuat sebelum kapal terbang berlepas.

"Pada awalnya, saya tenang. Biasalah anak kecil. Mungkin lapar, panas atau telinga tak selesa.

"Sebagai bapa kepada empat anak, saya sangat faham tekanan ibu bapa apabila bawa anak kecil naik kapal terbang. Persiapan mental itu lebih berat daripada beg kabin," tulisnya.

Situasi itu turut disedari penumpang lain yang kelihatan semakin tidak selesa, malah ada yang cuba menegur dengan mencadangkan agar pendingin hawa dilaraskan.

Bagaimanapun ceritanya lagi, jawapan diberi si bapa mengejutkan penumpang lain.

"Bukan, tak ada line sekarang," jawabnya ringkas.

Peranti digital sering menjadi peneman setia kebanyakan kanak-kanak sejak usia yang masih kecil. — Gambar hiasan

Keadaan sama berulang apabila seorang pramugari tampil menawarkan tempat duduk kosong di bahagian belakang pesawat supaya ibu bapa berkenaan boleh memujuk anak dengan lebih selesa.

Namun ujar Abdul Aziz, sekali lagi alasan ketiadaan capaian internet diberikan.

Tidak lama kemudian, suasana kabin berubah apabila bunyi lagu kanak-kanak kedengaran selepas skrin telefon dihidupkan.

"Beberapa minit kemudian, bunyi lagu kanak-kanak kedengaran.

"Pancaran skrin menyala, anak itu terus diam. Seluruh kabin menarik nafas lega.

"Sampailah kapten umumkan pesawat akan mendarat. Skrin ditutup dan tangisan itu bermula semula," kongsinya lagi.

Menurut Abdul Aziz, ketika itu empatinya terhadap situasi berkenaan mula bertukar menjadi rasa kecewa.

“Tanpa sedar, kita sedang mengajar anak kecil ini satu perkara yang mahal harganya, tenang hanya bila skrin ada.

"Gajet bukan musuh, masalahnya apabila ia menjadi alat pujuk pertama, bukan pilihan terakhir.

"Saya pulang dengan satu rasa yang sukar diterangkan. Bukan marah atau simpati. Cuma tertanya-tanya, apa yang sedang kita biasakan tanpa sedar?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram