KEBELAKANGAN ini, isu warna kulit bayi menjadi punca prasangka dan perbandingan tidak sihat, terutama dalam kalangan ibu hamil yang sering dibanjiri petua serta mitos tidak berasas.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Imelda Balchin tampil menegur kecenderungan segelintir masyarakat yang masih mengaitkan warna kulit bayi dengan amalan tertentu seperti minum air kelapa ketika hamil.
Menurutnya, masyarakat perlu segera menghentikan diskriminasi itu yang secara tidak sedar menanam persepsi bahawa kulit putih lebih baik berbanding gelap.
BACA LAGI: Wakili Malaysia di tayangan perdana 'Wicked', Aisya Retno sempat berduet dengan Ariana Grande
BACA LAGI: Julang kisah ketamadunan Melayu Pahang, Tengku Ampuan Pahang bentang syarahan di Universiti Oxford
"Kita mesti hentikan diskriminasi warna kulit dan belajar menghormati semua warna kulit manusia. Kita mesti berhenti memberi persepsi putih itu bersih seolah-olah warna hitam itu tidak bersih,” tegasnya di laman Threads.
Tambahnya, sifat empati seharusnya menjadi asas dalam berinteraksi sesama manusia, sementara setiap individu perlu menerima warna kulit yang dikurniakan ALLAH tanpa cuba mengubahnya.
Air kelapa bukan penentu warna kulit
Mengulas mitos bahawa minum air kelapa ketika hamil boleh menyebabkan bayi lahir berkulit cerah, Dr. Imelda menyifatkannya sebagai dakwaan palsu dan tidak disokong kajian sains.
"Kita mesti berhenti menyebarkan mitos yang memperbodohkan masyarakat.
"Cuba fikir, apa ingat semua orang kulit putih di Eropah lahir putih sebab mak ayah mereka minum air kelapa? Mana ada pokok kelapa tumbuh di Scotland, Switzerland dan Sweden?" katanya.
Jelasnya, pokok kelapa hanya tumbuh di negara beriklim panas yang majoriti penduduknya berkulit sawo matang, sekali gus membuktikan bahawa ia tidak berkait dengan pengambilan air kelapa.
Negara pengeluar kelapa terbesar seperti Indonesia, Filipina, India dan Sri Lanka, semuanya mempunyai populasi berkulit gelap jauh berbeza daripada masyarakat di negara bukan tropika.
"Minum air kelapa tiada larangan semasa hamil atau selepas bersalin cuma jangan tambah gula, tapi janganlah menyebarkan mitos merapu, warna kulit anak tetap ikut baka keturunannya," ujarnya lagi.
Kesedaran masyarakat
Tegas menafikan fahaman sedemikian, Dr. Imelda menggesa orang ramai untuk lebih matang dalam memahami variasi warna kulit manusia dan berhenti mempromosi petua yang merosakkan pemikiran masyarakat.
Dalam konteks perubatan, warna kulit seseorang dipengaruhi sepenuhnya oleh faktor genetik dan bukannya amalan pemakanan tertentu.
Malah, beliau turut menggesa masyarakat untuk sentiasa menghormati kepelbagaian warna kulit sekali gus membentuk persepsi yang lebih sihat dari segi mental, sosial dan budaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
