ATLET ekuestrian negara, Megan Ding melakar sejarah peribadi selepas berjaya meraih pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 dalam acara dressage gaya bebas, sekali gus menghadiahkan detik membanggakan buat Malaysia.
Megan atau nama sebenarnya Megan Min Ern Ding, 17, yang kini berpangkalan di Denmark mempertaruhkan kudanya, Gaudi Vita.
Kerjasama itu akhirnya membuahkan hasil apabila persembahan mereka di gelanggang berlangsung cemerlang mengikut perancangan.
Menurut Megan yang membesar di Singapura, namun ibu bapanya warganegara Malaysia, perjalanan bersama Gaudi bukanlah mudah pada peringkat awal.
"Ketika berusia 14 tahun saya masih berdepan kekangan fizikal untuk mengendalikan Gaudi secara optimum.
"Namun, setahun kebelakangan ini sangat luar biasa. Saya rasa inilah detik kejayaan saya dan Gaudi, kami hebat di gelanggang hari ini,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram Impact Media & PR pada Rabu.
Persembahan mantap itu membolehkan Megan mencatat 76.252 mata, pencapaian tertinggi pernah diraihnya sepanjang penglibatan dalam sukan tersebut.
Kongsinya, bagi segmen gaya bebas, beliau memilih muzik daripada filem The Greatest Showman, selepas terinspirasi daripada adik perempuannya, Rheann Ding, yang merupakan seorang penari balet.
"Lagu Rewrite The Stars daripada filem tersebut menjadi pilihan kerana memberi motivasi berterusan kepada saya sejak beberapa tahun lalu," jelasnya.
Megan turut menyifatkan Gaudi sebagai kuda yang luar biasa, bukan sahaja dari segi pergerakan dan keupayaan meraih markah tinggi, malah sebagai ‘guru’ yang banyak mengajarnya tentang erti sebenar menjadi penunggang.
Baginya, kejayaan dalam sukan ekuestrian tidak hanya diukur melalui kemenangan atau markah tertinggi, sebaliknya keupayaan untuk menunggang dengan baik dalam apa jua keadaan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
“Yang paling penting, kebajikan kuda mesti sentiasa diutamakan. Tanpa mereka, kita tidak mampu untuk bertanding, apatah lagi untuk menang,” jelasnya.

Bagi Megan, kejayaan dalam sukan ekuestrian tidak hanya diukur melalui kemenangan, sebaliknya keupayaan menunggang kuda dengan baik.
Berikut Majoriti kongsikan antara tiga fakta menarik tentang Megan Ding.
1) Atlet termuda
Megan mencatat sejarah sebagai pemenang termuda dalam sejarah pertandingan ekuestrian Sukan SEA.
Beliau mengejutkan ramai selepas menewaskan barisan pesaing berpengalaman untuk merangkul gelaran dressage individu Wanita.
2) Kuda sakit
Sebelum penerbangan dari Denmark, Gaudi jatuh sakit dan mengalami demam.
Gaudi sepatutnya tiba di Thailand pada 6 Disember tetapi hanya sampai pada 9 Disember.
Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) terpaksa menanggung kos tambahan untuk memastikan kuda tersebut dapat tiba.
3) Pertandingan
Rekod pertandingan lain menunjukkan Megan juga pernah memenangi beberapa kategori dalam National Dressage Championship seperti Small Tour dan Intermediate Freestyle bersama kuda lain bernama J’adore.
Beliau juga diiktiraf sebagai Dressage Junior Rider of the Year oleh kelab berkuda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
