Pelukis tersohor China umum kelahiran 'putera' dengan isteri baharu, terus putus hubungan bersama anak perkahwinan terdahulu


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Pada 11 Disember lalu, Zeng mengumumkan bahawa isterinya, Meng selamat melahirkan bayi lelaki. — Agensi

PELUKIS kontemporari terkenal China, Fan Zeng mengumumkan kelahiran anak lelaki kandung tunggalnya, serentak dengan keputusan memutuskan hubungan dengan anak-anak lain.

Memetik laporan QQ.com, pada usia 87 tahun, Zeng yang dikenali sebagai antara pelukis paling bernilai di China, mencatatkan hasil jualan karya melebihi AS$567 juta (RM2.3 juta) antara 2008 hingga 2024.

Sepanjang kerjaya sekurang-kurangnya 10 karya seni Zeng berjaya dilelong pada harga melebihi 10 juta yuan (RM6 juta).

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

Antaranya, sebuah lukisan dihasilkan pada 1991 mencatatkan harga 18.4 juta yuan (RM320 juta) dalam satu lelongan di Beijing pada 2011.

Selain lukisan, Zeng juga diiktiraf sebagai pelukis kaligrafi tersohor.

Karya kaligrafinya dianggarkan bernilai sekitar 200,000 yuan (RM116,000) bagi setiap 0.11 meter persegi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia seni halus China.

Selain lukisan, Zeng juga diiktiraf sebagai pelukis kaligrafi tersohor. — Agensi

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehidupan peribadi Zeng turut menjadi perhatian.

Pada April tahun lalu, beliau mencuri tumpuan selepas berkahwin dengan Xu Meng, wanita yang berusia 50 tahun lebih muda daripadanya.

Sebelum perkahwinan tersebut, Zeng pernah melalui tiga perkahwinan dan dikurniakan seorang anak perempuan kandung serta dua anak tiri.

Pada 11 Disember lalu, Zeng mengumumkan di media sosial bahawa isterinya, Meng selamat melahirkan bayi lelaki.

“Baru-baru ini, saya menyambut kelahiran seorang anak lelaki, satu-satunya anak saya.

"Saya juga telah berpindah ke rumah baharu. Saya, isteri dan anak kami kini membentuk keluarga yang sangat bahagia,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Zeng memaklumkan, beliau telah mempercayakan Meng sepenuhnya untuk mengurus semua urusan dalaman dan luaran keluarga memandangkan usianya yang lanjut.

“Orang lain tidak berhak campur tangan dalam urusan keluarga kami,” tegas beliau.

Zeng turut mengumumkan keputusan drastik untuk memutuskan hubungan dengan anak-anaknya yang lain, termasuk anak perempuan kandungnya, Fan Xiaohui serta anak tiri, Fan Zhongda.

Xiaohui mendakwa bapanya gagal dihubungi dan menuduh Meng mengawal serta menganiaya lelaki berusia lebih 80 tahun itu. — Agensi

Beliau mendakwa, terdapat pihak yang menggunakan nama anak-anaknya untuk menyebarkan khabar angin, mencetuskan konflik dan mengancam keharmonian keluarganya.

“Saya menarik balik semua kepercayaan, kebenaran dan sebarang bentuk kerjasama dengan mereka.

"Mereka tidak dibenarkan menggunakan nama saya bagi sebarang tujuan pada masa hadapan,” ujarnya sambil memberi amaran akan mengambil tindakan jika perkara itu berlaku.

Umum mengetahui hubungan Zeng dengan anak-anaknya sememangnya tegang.

Pada Ogos lalu, Xiaohui mendakwa di media sosial bahawa beliau gagal menghubungi bapanya dan menuduh Meng mengawal serta menganiaya lelaki berusia lebih 80 tahun itu.

Xiaohui turut menuduh Meng menjual secara senyap sejumlah besar karya seni milik Zeng yang dianggarkan bernilai dua bilion yuan (RM1.2 juta).

Bagaimanapun, beberapa hari selepas dakwaan itu tular, syarikat milik Zeng tampil menafikan semua tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Zeng yang berasal dari wilayah Jiangsu di timur China, memulakan pengajian seni lukis tradisional di Akademi Seni Halus Pusat di Beijing pada 1960-an dan menerima bimbingan daripada tokoh seni terkemuka, Li Keran serta Li Kuchan.

Sepanjang beberapa dekad, karya-karya Zeng dipamerkan di pelbagai pameran antarabangsa, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam dunia seni kontemporari China. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram