PERGINYA seorang figura politik berpengaruh di Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin masih memberi kejutan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk negeri Di Bawah Bayu itu.
Bung Moktar Radin, 66, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi di Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu, Sabah yang dipercayai akibat kegagalan buah pinggang.
Perkembangan itu diumumkan oleh anak lelaki Ketua UMNO Sabah berkenaan, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya pada Jumaat.
BACA LAGI: 'Ada doa tanpa kata-kata, hanya air mata,' Zizie Izette luah rasa hiba pemergian Bung Moktar
BACA LAGI: [VIDEO] Sisi tak diketahui, Bung Moktar insan penuh kasih sayang di samping anak-anak, keluarga
Allahyarham Bung Mokhtar meninggalkan nama sebagai ahli politik Sabah paling lantang bersuara di di Dewan Rakyat serta disenangi rakyat, khususnya di kawasan yang diwakilinya iaitu Parlimen Kinabatangan dan baru sahaja memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag.
Sepanjang khidmatnya, Allayarham Bung Moktar bukan sahaja dikenang sebagai pemimpin tegas, malah sebagai wakil rakyat yang sering membantu tanpa mengira publisiti.
Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman peribadinya menerima bantuan pendidikan daripada Allahyarham hampir lapan tahun lalu, meskipun beliau bukan penduduk di kawasan diwakili pemimpin itu.
“Reach him lapan tahun lalu, minta bantuan untuk masuk universiti. He was not my ADUN kawasan tapi dia bantu. Jumlah sangat besar dan dia tiada post apa-apa, tiada pun minta saya bergambar untuk war-war dekat media.
"I never agreed anything to his scandal, itu urusan dia dengan Tuhan. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulis pengguna berkenaan, shafikasufian_.
Allahyarham Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.
Kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.

Allahyarham Bung Mokhtar ketika ziarah penduduk Lamag.
Pada 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.
Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.
Pada PRN17 yang berakhir Sabtu lalu, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
