Bukan percutian tapi ibadah, ramai kecewa umrah batal 'last minute', ibu bapa dah buat persiapan


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Difahamkan, antara faktor utama pembatalan umrah segelintir individu adalah berpunca daripada kenaikan kos yang terlalu tinggi pada waktu terakhir. — Gambar hiasan

RAMAI bakal jemaah meluahkan rasa kecewa dan terkilan selepas perjalanan umrah mereka dibatalkan pada saat-saat akhir, sedangkan kebanyakannya sudah membuat persiapan rapi.

Isu itu tular di platform Threads selepas beberapa pengguna berkongsi pengalaman sama.

Difahamkan, antara faktor utama pembatalan berpunca daripada kenaikan kos yang terlalu tinggi pada waktu terakhir.

BACA LAGI: Jemaah umrah kesal agensi beri 1,001 alasan tangguh penerbangan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jumpa di mahkamah', Akmal Saleh balik umrah awal berdepan pendakwaan pada Jumaat

Pengguna Threads, faramzln meluahkan rasa tidak puas hati selepas perjalanan umrah ibu bapanya yang dijadualkan pada Sabtu ini dibatalkan secara mengejut oleh pihak agensi.

Beliau turut memuat naik tangkap layar mesej daripada pihak agensi memaklumkan, penerbangan umrah yang dijadualkan pada 20 Disember 2025 terpaksa dibatalkan atas sebab kenaikan kos yang terlalu tinggi pada saat akhir.

“Ibu bapa saya dah siap kemas barang untuk pergi umrah Sabtu ini, agensi batal macam itu saja? Disebabkan kos yang tinggi? Tak munasabah,” tulisnya pada Khamis.

Menurut mesej berkenaan, pihak agensi mengambil keputusan memulangkan semula keseluruhan bayaran jemaah bagi mengelakkan kerugian besar.

Bagaimanapun, faramzln menyifatkan alasan tersebut sebagai tidak boleh diterima dan mencerminkan perancangan yang lemah serta kurang profesional.

"Orang tua tak pandai cakap apa tau, mereka ikut saja. Ibu bapa saya dalam keadaan baik cuma sedih sebab ini pengalaman umrah pertama mereka,” katanya.

Tangkap layar memaparkan beberapa hantaran di aplikasi Threads mengenai isu pembatalan umrah.

Situasi sama turut dikongsikan pengguna dengan nama akaun _cellulose, yang memaklumkan perjalanan umrah sekeluarga mereka dibatalkan sepenuhnya walaupun tarikh penerbangan semakin hampir.

“Sepatutnya Jumaat flight. Satu minggu lepas, mereka maklum penerbangan ditunda ke Sabtu sebab tukar ke penerbangan terus.

"Hari ini pula dimaklumkan trip dibatalkan terus,” ujarnya.

Sementara itu, faradiba.azahar turut meluahkan kesedihan selepas perjalanan umrah ibu bapa mentuanya dibatalkan pada hari sepatutnya mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

“Umrah bukan percutian, ini ibadah. Abah dan mak mentua saya dah buat persediaan awal.

"Apabila dibatalkan tanpa persediaan, yang sakit bukan badan tapi hati,” ceritanya.

Beliau turut merayu agar pihak terlibat tidak mempermainkan impian orang ramai untuk menjadi tetamu ALLAH SWT.

Dalam pada itu, pengguna r_indra_a berpandangan, isu pembatalan umrah menjelang Disember bukan perkara luar biasa memandangkan kos penerbangan dan penginapan lazimnya meningkat pada hujung tahun.

Katanya, agensi pelancongan umrah seharusnya mengambil kira faktor tersebut lebih awal dan menawarkan kos sebenar kepada jemaah tanpa menunggu saat akhir.

“Agensi pelancngan patut tahu hujung tahun memang harga tiket penerbangan dan hotel naik. Kos umrah sepatutnya sudah ambil kira semua itu,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram