LUAHAN jujur seorang wanita mengenai pengalamannya pulang ke rumah ibu bapa mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial apabila ramai mengakui melalui situasi emosi yang sama.
Menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads, wanita berkenaan berkata, setiap kali pulang ke rumah ibu bapanya, beliau hanya mampu tinggal selama tiga hari dua malam sebelum mengalami keletihan emosi dan fizikal.
“Sekarang ini, setiap kali pulang ke rumah mak abah, saya sentiasa menunggu masa untuk balik ke ‘sarang’ sendiri dan memulihkan tenaga diri.
"Kalau tinggal lebih dari tiga hari, saya akan burnout, sensitif, rasa terlalu terbeban, sangat letih dan mudah marah. Badan pun mula sakit-sakit,” luahnya pada Rabu.
Menurutnya, meskipun rumah tersebut adalah tempat beliau membesar, suasana di sana kini memberi kesan besar terhadap tenaga emosinya, apatah lagi mengakui dirinya seorang yang mudah menyerap emosi sekeliling.
“Ramai orang, suasana cepat dan bising, kerja rumah tak pernah habis, tempat tidur tak selesa, ditambah pula dengan drama keluarga. Ada ke yang geng macam saya?” soalnya lagi.
Bagaimanapun, wanita itu menegaskan, perkongsian tersebut bukan bermaksud kasih sayang terhadap keluarganya sudah berkurang.
“Saya sayang mak abah dan adik-beradik. Saya cuma bercakap tentang diri sendiri sahaja,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, tidak sedikit warga maya yang tampil berkongsi pengalaman serupa.
Antaranya, nadianjw2.0 yang meluahkan rasa kehilangan saat barangan peribadinya dibuang selepas dirinya berkahwin dan berpindah keluar.
“Banyak barang kenangan dibuang tanpa diberitahu. Rasanya seperti sebahagian diri saya juga dibuang.
"Apa gunanya pulang kalau tiada lagi kesan kewujudan saya di situ?” tulisnya.
Pengguna lain, zee17884 pula berkongsi konflik emosi yang lebih mendalam apabila berdepan tekanan mental berpanjangan.
“Saya burnout setiap hari di rumah sendiri, tetapi di rumah ibu pun saya hanya mampu bertahan empat hari.
"Selepas itu saya jadi cemas. Tak pasti apa yang tak kena dengan diri ini,” ceritanya.
Sementara itu, nolynasa mengakui turut berdepan situasi hampir sama, apabila kepulangan yang sepatutnya menenangkan bertukar menjadi tekanan emosi.
“Tak boleh lebih tiga hari sebab lepas itu mak akan cari gaduh.
"Dalam tempoh singkat itu pun sudah perlu tahan telinga dengan cerita negatif. Anak-anak memang tak lama balik, tak rasa damai,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
