'Mustahil' nak pisahkan anak dengan gajet, berikut panduan agar tak ketinggalan zaman


  • Bonda
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Gajet dan telefon pintar menjadi peranti penting di kalangan kanak-kanak lag lahir di generasi serba moden kini. - Gambar hiasan/Agensi

 

 

PADA era serba digital hari ini, hampir mustahil untuk memisahkan kanak-kanak daripada gajet terutamanya telefon pintar.

Namun, dalam keghairahan dunia maya yang serba pantas, ramai ibu bapa kini berdepan dilema besar sama ada patut atau tidak anak diberikan gajet atau sebaiknya dilarang terus daripada skrin televisyen.

Tidak dinafikan, segelintir ibu bapa melihat ia sebagai jalan pintas dalam membentuk pendidikan awal si kecil dengan kelebihan serta fasiliti ada pada paparan digital.

BACA LAGI: Kisah pilu di sebalik tirai besi, polis 'murah hati' izinkan banduan lepas rindu peluk, tidur dengan anak

BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah

Akur dengan perubahan teknologi masa kini, Pakar Terapi Pertuturan Bahasa Ayzu Azwin sama sekali tidak melarang penggunaan gajet pada kanak-kanak, namun ia perlu dimanfaatkan mengikut cara yang betul.

Katanya, berdasarkan kaedah Evidence-Based Practice (EBP) dalam bidang psikologi kanak-kanak, isu itu tidak boleh dilihat secara hitam putih, sebaliknya ia wajar bergerak seiring agar generasi muda tidak ketinggalan.

"Dunia dah berubah, homework online, komunikasi digital, kelas pun ada yang hybrid tapi pendedahan skrin yang tidak berpandu boleh ganggu otak dan emosi anak kecil.

"Jadi jawapan dia bukan sekadar bagi atau tak bagi, tapi bila, bagaimana dan untuk apa," katanya di laman Threads.

Berikut merupakan beberapa perkara dan keutamaan perlu dititikberatkan ibu bapa berkaitan penggunaan gajet pada si kecil.

 

 

1. Dunia digital bukan musuh

Ibu bapa perlu realistik dengan realiti dunia hari ini kerana tugas sekolah, komunikasi rakan malah aktiviti kokurikulum kini kian beralih ke platform atas talian.

“Kita tak boleh lari daripada dunia skrin, tapi kita boleh ajar anak berenang dalamnya,” kata pakar psikologi perkembangan kanak-kanak.

Teknologi bukanlah musuh namun apabila tiada kawalan, ia boleh mengganggu fokus, tidur, serta hubungan sosial anak.

Tambahnya, anak-kanak bawah enam tahun yang terdedah kepada skrin terlalu awal berisiko lebih tinggi mengalami masalah tumpuan, kelewatan pertuturan dan kawalan emosi yang lemah.

2. Otak anak belajar kawal emosi

Pada usia awal, otak kanak-kanak masih membina keupayaan untuk mengawal diri.

Maka, pendedahan berlebihan kepada video, permainan dan kandungan pantas boleh menyebabkan mereka sukar menunggu giliran, cepat marah dan kurang sabar.

Kajian neurodevelopment turut mendapati kawalan diri kanak-kanak menjadi matang dengan lebih perlahan apabila otak sering dirangsang secara berlebihan oleh skrin.

3. Kesihatan mental anak dipelihara

Ramai menyangka isu kesihatan mental hanya menimpa orang dewasa, namun realitinya, kanak-kanak juga boleh terjejas.

Apabila anak terlalu bergantung kepada skrin gajet untuk menenangkan diri atau hiburan, mereka tidak belajar cara mengurus emosi dalam dunia sebenar.

"Anak memerlukan human buffering iaitu kehadiran dan respons fizikal daripada ibu bapa. Pelukan, perhatian dan ruang emosi yang diberi inilah yang membentuk kekuatan mental sebenar seorang anak," ujarnya.

4. Risau anak ketinggalan

Ramai ibu bapa bimbang anak ketinggalan jika tidak dibiasakan dengan teknologi.

Namun, hakikatnya hal itu bukan masalah sebenar kerana kemahiran sosial merupakan perkara paling penting di tahap perkembangan usia kanak-kanak.

Antara kemahiran penting yang boleh terhakis jika terlalu bergantung kepada skrin ialah:

- Komunikasi dua hala

- Ekspresi wajah

- Bermain secara imaginatif

- Hubungan sosial dunia nyata

Oleh itu, pendedahan digital perlu dibuat secara berperingkat dan berpandu, bukan bebas tanpa sempadan.

5. Garis panduan praktikal untuk ibu bapa

Antara langkah realistik yang disarankan oleh pakar termasuklah:

- Tetapkan masa khusus skrin contohnya satu jam selepas makan malam.

- Amalkan co-viewing, iaitu menonton bersama anak dan berbincang tentang kandungan.

- Pilih kandungan interaktif dan mendidik, bukan hanya hiburan pasif.

- Ajar etika digital serta kawalan diri sejak kecil.

- Pastikan anak masih mempunyai masa untuk aktiviti fizikal, bermain dan interaksi sosial sebenar.

Kesimpulannya, teknologi hanyalah sejenis peranti dan bukan berperanan sebagai penghubung kasih sayang antara ibu bapa dan anak.

Telefon pintar mungkin boleh mengundang tawa dan hiburan si kecil namun ia tidak mampu menggantikan mata yang saling memandang, suara yang bertanya dan tangan yang menggenggam.

Maka, sebaiknya ibu bapa perlu bijak dalam bab didikan anak dan teknologi digunakan sebaiknya demi pendedahan serta kebaikan si kecil yang kini lahir di generasi dunia digital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram