KETAGIHAN digital dalam kalangan kanak-kanak kini semakin meruncing apabila semakin ramai ibu bapa bergantung kepada telefon pintar sebagai alat untuk menenangkan dan mengalihkan perhatian anak.
Trend itu bukan sahaja membuka ruang kepada pendedahan kandungan tidak sesuai, malah turut menjejaskan perkembangan emosi serta kemampuan sosial generasi muda.
Malah, sikap segelintir ibu bapa yang menjadikan telefon pintar sebagai ‘mainan’ untuk menenangkan anak kecil tanpa kawalan kini dilihat sebagai antara punca utama peningkatan ketagihan digital dalam kalangan kanak-kanak.
"Masalahnya sekarang, ramai ibu bapa menganggap telefon pintar sebagai ‘mainan’ yang boleh menenangkan anak. Asalkan anak tidak mengganggu mereka, sudah memadai.
BACA LAGI : Larangan media sosial bawah 16 tahun tak bina ketahanan digital, pendidikan digital lebih berkesan
BACA LAGI : [VIDEO] Tak boleh 'claim' kasut sukan, pakar kewangan kongsi 5 tip pelepasan cukai ramai terlepas pandang
Pakar keselamatan siber, Prof Abdul Majid, berkata fenomena itu semakin ketara apabila ibu bapa menggunakan gajet sebagai alat distraksi sementara, bukan sebagai medium pembelajaran atau komunikasi terkawal.
"Tapi tanpa kawalan, ia sangat berbahaya kerana kanak-kanak mungkin terdedah kepada kandungan tidak sesuai atau toksik," katanya kepada Majoriti.

Pakar keselamatan siber, Prof Abdul Majid
Abdul Majid yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Sastera Liberal di INTI International University menjelaskan, kebergantungan terhadap peranti pintar sejak usia muda bukan sekadar menjejaskan tumpuan dan daya fikir, malah boleh menghambat perkembangan sosial dan emosi anak-anak.
Menurut beliau, ibu bapa perlu mengimbangi penggunaan teknologi dengan aktiviti fizikal dan sosial di dunia sebenar.
Namun, katanya, cabaran besar masa kini ialah apabila generasi muda melihat akses Internet sebagai keperluan asas dalam setiap aktiviti.
"Sekarang ini bila diajak balik kampung, anak akan tanya dulu, ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’
"Atau bila keluar makan, soalan pertama ialah ‘Apa kata laluan Wi-Fi?’," katanya sambil menyifatkan situasi itu sebagai indikator jelas kebergantungan tinggi terhadap dunia digital.

Bila kanak-kanak terlalu tenggelam dalam dunia maya tanpa pengawasan, kesannya bukan saja pada tumpuan, tapi juga pada keseimbangan emosi. — Gambar hiasan janaan Ai
Beliau berpendapat sudah tiba masanya masyarakat dan kerajaan bekerjasama menetapkan ‘sempadan digital’ (digital boundaries) misalnya masa makan tanpa telefon, masa belajar tanpa gajet, dan masa keluarga tanpa Internet.
"Kita tidak boleh biarkan budaya ini berterusan. Bila kanak-kanak terlalu tenggelam dalam dunia maya tanpa pengawasan, kesannya bukan saja pada tumpuan, tapi juga pada keseimbangan emosi dan kemahiran sosial mereka," ujarnya.
Justeru, beliau berasakan dasar baharu seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 hanya akan berkesan jika disokong oleh perubahan sikap ibu bapa dan kesedaran kolektif masyarakat terhadap pendidikan literasi digital sejak usia awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
