RAMAI beranggapan usia atau kekurangan dari segi pendidikan formal menjadi halangan untuk seseorang memulakan perniagaan.
Namun, kisah pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman membuktikan sebaliknya.
Perjalanan perniagaan Padzilah sering menjadi topik yang menarik untuk dibincangkan dalam kalangan usahawan khususnya wanita.
BACA LAGI: Inspirasi merdeka: Bermula dari ruang tamu, kini bisnes 4 usahawan tembusi pasaran global
Baru-baru ini, seorang pengguna aplikasi Threads, Umar Taib yang aktif berkongsi tip perniagaan turut tampil mengupas kejayaan dan strategi bisnes ibu kepada enam cahaya mata itu.
Bergelar suri rumah sepenuh masa selama 25 tahun, Padzilah hanya memulakan bisnes pada usia 46 tahun selepas suaminya menghadapi masalah besar dalam perniagaan syarikat kejuruteraan yang menyebabkan akaun bank dibekukan.
Tanpa teori pengurusan yang kompleks, beliau menggunakan naluri seorang ibu dan pertimbangan logik untuk menguruskan kos serta staf syarikat, hingga akhirnya bisnes suami berjaya dipulihkan.
"Beliau potong kos mana patut, urus staf macam didik anak. Hasilnya? Syarikat suami berjaya dipulihkan.
"Kadang-kadang kita terlalu overthinking dengan strategi sampai lupa asas bisnes itu sebenarnya mudah," tulisnya pada Rabu.

Tanpa teori pengurusan kompleks, Padzilah (kiri) menggunakan naluri seorang ibu untuk menguruskan kos dan staf syarikat. — Instagram/padzilah_endasulaiman
Strategi tukar kolam
Menurut Umar, ketika mula-mula menghasilkan telekung Siti Khadijah dengan modal RM10,000, Padzilah menyasarkan agensi pelancongan untuk pakej umrah.
Bagaimanapun jelasnya, agensi menolak tawaran telekung RM200 beliau kerana harga dianggap terlalu tinggi berbanding pesaing.
"Respons agensi? Gila ke jual telekung harga RM200 lebih? Orang lain jual RM50 hingga RM80 saja.
"Mereka tolak mentah-mentah sebab rasa tak logik nak bagi telekung mahal sebagai hadiah Jemaah," ceritanya.
Padzilah enggan berputus asa dan mengubah strateginya dengan terus menjual kepada pengguna akhir serta memasarkan produk melalui rancangan televisyen Wanita Hari Ini.
"Hasilnya, stok 200 pasang habis licin dalam masa setengah jam.
"Rupanya pasaran beliau bukan orang nak telekung murah, tapi wanita yang nak keselesaan 'Lambang Cinta Abadi'," ujarnya lagi.
Inovasi masalah sendiri
Telekung Siti Khadijah dihasilkan kerana Padzilah sendiri tidak berpuas hati dengan telekung sedia ada yang panas, tidak selesa dan memerlukan anak tudung tambahan.
Beliau melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri menggunakan anak-anak lelaki sebagai model saiz muka.
Kini, jenama Siti Khadijah memiliki lebih 60 cawangan di Malaysia dan antarabangsa dengan jualan pernah mencecah ratusan juta ringgit.
Tip bisnes
1) Semak siapa tolak anda
Jika prospek menolak harga, jangan terus diskaun harga. Mungkin anda tengah jual dekat 'kolam' yang salah.

Jenama Siti Khadijah kini memiliki lebih 60 cawangan di Malaysia dan antarabangsa. — Instagram/padzilah_endasulaiman
2) Cari masalah utama
Siti Khadijah laku bukan sebab telekung semata-mata tetapi kerana ia selesaikan masalah ketidakselesan dan rasa tidak yakin ketika menghadap Tuhan.
3) Ambil tindakan
Cuba tanya tiga pelanggan terbaik anda.
"Kenapa awak beli dengan saya walaupun harga bukan yang paling murah?"
Jawapan itu adalah marketing angle anda yang sebenar.
Kisah Padzilah membuktikan bahawa tidak ada istilah terlambat untuk memulakan bisnes, dan asas seperti pertimbangan logik, inovasi serta fokus kepada masalah pelanggan adalah kunci kejayaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
