Lantai, jubin berkilat tanpa peluntur, cuba rutin cucian ringkas ini!


  • Hias
  • Isnin, 15 Dis 2025

Langkah pertama membersihkan tandas adalah dengan membasahkan keseluruhan permukaan menggunakan air sahaja, tanpa sebarang pencuci. —

PENGGUNAAN peluntur dan bahan pencuci berasaskan kimia kuat sering menjadi pilihan ramai kerana dianggap jalan paling cepat untuk mendapatkan lantai yang putih bersih. 

Namun tanpa disedari, penggunaan berterusan bahan tersebut boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan, khususnya sistem pernafasan, selain kurang sesuai untuk rutin pembersihan harian di rumah.

Justeru itu, seorang wanita dikenali sebagai Afifah.hgm, tampil berkongsi kaedah membersihkan tandas dan lantai sehingga berkilat tanpa bergantung pada peluntur.

BACA LAGI: Elak guna pelembut dan peluntur, wanita kongsi tip cuci lantai sampai berkilat guna 3 bahan

BACA LAGI: Hilang nyawa akibat makan suplemen RM20 di TikTok, doktor saran jangan beli tanpa rujuk pakar

Menurut wanita itu, bahan kimia kuat tidak seharusnya menjadi pilihan utama kerana masih ada cara lebih selamat dan berkesan untuk memastikan kebersihan rumah sentiasa terjaga.

Jelasnya, langkah pertama membersihkan tandas adalah dengan membasahkan keseluruhan permukaan menggunakan air sahaja tanpa sebarang pencuci.

Wanita itu akan membancuh sabun pencuci dengan air sebelum menjirus ke seluruh kawasan tandas dan membilas semua kotoran. 

Langkah seterusnya adalah menggosok kawasan berdaki menggunakan magic sponge.

"Fokus pada tempat berdaki seperti dinding, jubin dan celah-celah yang kekuningan.

"Apabila jubin rasa kesat masa pijak, maksudnya kotoran dah hilang, sebab itu boleh berkilat,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.

Selepas itu jelasnya, beliau akan membancuh sabun pencuci dengan air sebelum menjirus ke seluruh kawasan tandas dan membilas semua kotoran. 

Bagaimanapun katanya, bagi situasi daki air yang sudah lama, satu-satunya cara ialah dengan menukar grout atau celah jubin baharu yang mudah didapati di kedai perkakasan.

Mop rumah 

Bagi kerja mop pula, beliau menggunakan flat mop kerana kainnya boleh ditanggalkan dan dibersihkan dengan mudah.

Setiap kali selesai mop, kain mop akan direndam dalam air sabun, digosok dan dicuci sehingga benar-benar bersih sebelum digunakan semula.

“Apabila kain mop bersih, air sabun untuk mop seterusnya tak jadi kotor,” katanya.

Beliau menegaskan penggunaan sabun mop tidak perlu berlebihan, memadai suku penutup sabun dicampur dengan setengah baldi air. 

Untuk rumah berkonsep dapur terbuka, air panas menjadi pilihannya kerana lebih berkesan menanggalkan minyak.

Dapur dan peralatan sokongan

Bagi pembersihan dapur, terutama permukaan meja, beliau hanya menggunakan sabun pencuci pinggan kerana sifatnya yang efektif melarutkan minyak.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman menggunakan pelbagai jenama pembersih hampagas sebelum menetapkan pilihan pada satu model.

"Tip nak vakum tahan lama, jangan guna lebih 20 minit tanpa henti," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram