[VIDEO] Puji atlet mengandung raih emas Sukan SEA, ‘orang kuat’ bola sepak Indonesia sebaliknya didesak letak jawatan


  • Podium
  • Selasa, 16 Dis 2025

Erick Thohir yang sebelum ini merupakan Presiden PSSI turut menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan Indonesia. — Agensi

PRESTASI cemerlang ditampilkan kontinjen Indonesia dalam temasya Sukan SEA kali ini apabila 181 pingat dikutip meletakkan mereka di kedudukan kedua carta setakat ini.

Daripada angka tersebut, 52 daripadanya merupakan emas, 65 perak dan 64 gangsa yang menyaksikan mereka hanya di belakang tuan rumah, Thailand.

Malah, di sebalik pencapaian itu, terdapat pelbagai kisah menarik untuk dikupas, termasuk kesungguhan atlet menembak Indonesia, Dewi Laila Mubarokah yang membawa pulang dua pingat emas ketika hamil.

BACA LAGI: Erick Thohir sahkan 'friendly' HM-Garuda terbatal, rupanya tiada dalam perancangan FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Rindu jumpa Malaysia, pertukaran jurulatih dan muka baharu tarik minat Erick Thohir

Image ref 163745787. Copyright Shutterstock No reproduction without permission. See www.shutterstock.com/license for more information.

Dewi Laila mengharumkan nama Indonesia meskipun beraksi dalam keadaan hamil.

Atlet berusia 26 tahun berkenaan tidak meletakkan keadaannya itu sebagai penghalang untuk memberikan persembahan terbaik dalam acara 10 meter 'air rifle' wanita perseorangan dan beregu.

Dia pada awalnya khuatir bahawa kehamilannya itu akan menghalangnya daripada menyertai temasya kali ini, namun perbincangan bersama Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADO) memberikannya peluang berbakti buat Indonesia.

Kecekalan dan kesungguhan ditonjolkan jelas membuahkan hasil dengan ramai pihak mencurahkan pujian, termasuk daripada Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Erick yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan di negara itu berbangga akan pengorbanan Dewi Laila.

"Di tengah perjuangan membawa nyawa baharu ke dunia, dia tetap memilih berdiri di garis hadapan, membela Merah Putih dengan penuh keberanian dan cinta.

"Ini bukan hanya sekadar prestasi, tetapi ini tentang dedikasi tanpa batas, mengenai ibu yang rela mengorbankan ketenangan demi mengharumkan nama bangsanya." tulis Erick.

Hantaran itu menerima pujian peminat sukan Indonesia, namun masih terdapat segelintir pihak kurang senang dengan mesej Presiden PSSI tersebut.

Perasaan kecewa tersebut disuarakan penyokong bola sepak di negara jiran yang tidak berpuas hati akan persembahan ditonjolkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia.

"Jadi, pasukan negara bila mahu disiarkan Tuan? Apakah hanya tunggu apabila menang sahaja dikongsikan dan kalau kalah tidak perlu? Atau, jangan-jangan, Tuan sudah lupakan mereka?" soal Frans Quotes.

Persembahan mengecewakan ditampilkan Indonesia dalam acara bola sepak di Sukan SEA 2025. Agensi

"PSSI sudah dilupakan ya sekarang? Saya yakin sudah ramai yang tidak lagi bersemangat untuk mengikuti pasukan negara. Dalam pejabat PSSI, ramai pihak campur tangan. Jadi, lebih baik fokus terhadap Kementerian Belia dan Sukan sahaja," kata Hariyanto.

"Apa berita pula bola sepak B-23? Apakah Tuan berasa bangga dengan hasilnya? Setelah beberapa dekad, pasukan muda akhirnya tewas kepada Filipina, ini menjadi prestasi baik ya?" kata Angin Stream.

Prestasi pasukan muda Indonesia di temasya Sukan SEA 2025 cukup mengecewakan apabila mereka gagal melangkah ke pusingan kalah mati meskipun meraih pingat emas dalam edisi sebelum ini.

Kegagalan itu menamatkan rentetan kejayaan skuad Garuda Muda untuk meraih sebarang pingat selepas kali terakhir gagal berbuat demikian pada Sukan SEA 2009 di Kemboja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram