'Rindu agaknya', anak cuba gembirakan bapa, masih biasakan diri lepas 3 minggu ibu meninggal dunia


  • Cinta
  • Isnin, 15 Dis 2025

Wanita tersebut berkongsi keadaan bapanya selepas tiga minggu kehilangan isteri.

PEMERGIAN insan tersayang bukanlah satu realiti yang mudah diterima.

Itu yang dirasai seorang lelaki selepas isterinya meninggal dunia baru-baru ini.

Berkongsi kisah itu di aplikasi Threads, anak kepada pasangan berkenaan menceritakan pengalaman menemani bapanya selepas pemergian ibu tercinta.

BACA LAGI: Pernah pengsan akibat depresi, kematian isteri tak halang 'superdaddy' didik 3 anak istimewa

BACA LAGI: Menyesal tak sudah, anggap diri gagal jadi suami lepas isteri hidap kanser meninggal dunia

Menurut individu berkenaan, tiga minggu selepas ibu pergi, bapanya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan seharian seorang diri.

"Minggu lepas ajak abah duduk dengan saya, niat nak gembirakan abah.

"Namun apabila terpaksa pergi kerja tinggalkan abah seorang diri di rumah, rasa sedih dan bersalah pula. Rumah saya macam mengurung dia,” tulisnya pada Ahad.

Selepas tiga hari, beliau mengambil keputusan untuk membawa bapanya kembali ke kampung halaman.

Ceritanya lagi, destinasi pertama yang dituju bapanya adalah bilik dan katil arwah ibunya.

"Rindu agaknya," ujar wanita itu.

Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai warga maya yang turut menitipkan kata-kata semangat, selain berkongsi pengalaman sama pernah dialami mereka.

Menurut nasa88my1, meski kehilangan isteri secara tiba-tiba pada Mei lalu, kenangan mereka bersama masih sentiasa terbayang jelas dalam fikirannya.

Akuinya, walaupun kerap melancong dan mengunjungi tempat baharu, kesedihan bukan sesuatu yang boleh dipadamkan dalam beberapa bulan atau bahkan bertahun-tahun.

“Ia adalah sebahagian dan kekal dalam diri kita. Saat yang paling sukar datang pada waktu malam, terutama ketika seorang diri,” katanya.

Sementara itu, naddy_rahman pula tampil berkongsi pengalaman menyaksikan kisah arwah ibu dan bapanya.

Kata wanita itu, sejak ibunya meninggal dunia, bapanya berasa sangat kesepian meskipun keluarga berusaha menggembirakannya.

"Setahun lapan bulan selepas pemergian ibu, ayah pula meninggal dunia. Saya percaya dia meninggal dunia kerana 'patah hati'," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram