DALAM kalangan keluarga yang mempunyai anak istimewa, mencari ruang terapi yang sesuai bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar.
Menyedari keperluan itu, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) muncul sebagai satu inisiatif membantu mengisi jurang tersebut.
Sebagai ruang yang direka khusus untuk menyokong perkembangan kanak-kanak dengan autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta keperluan sensori lain, bilik terapi itu menyediakan persekitaran selamat serta kondusif supaya mereka dapat belajar membina keyakinan diri.
BACA LAGI: Ibarat ‘rumah kedua’, kemudahan RMH bantu meringankan beban keluarga pesakit kronik
BACA LAGI: McDonald’s Malaysia agih zakat korporat RM2 juta tahun ini, jelajah 14 negeri
Kemudahan tersebut juga diwujudkan bagi memberi akses terapi lebih mudah kepada komuniti setempat, terutamanya keluarga yang sebelum ini perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan sesi intervensi.

RMSR di Tampin tersenarai sebagai satu-satunya kemudahan seumpamanya yang terletak dalam kawasan restoran McDonald’s.
Sejak 1999, sebanyak 36 RMSR diwujudkan di seluruh negara termasuk di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), institusi pendidikan khas dan hospital.
Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen RMHC Malaysia dalam menyediakan ruang kondusif bagi membantu anak-anak istimewa berkembang bersama sokongan keluarga dan komuniti.
“Setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang untuk berkembang dalam suasana positif.
"Melalui bilik terapi ini, kami mahu menyediakan ruang yang bukan sahaja membantu anak-anak belajar mengawal emosi dan tumpuan, tetapi juga memberi ketenangan kepada ibu bapa untuk melihat kemajuan anak mereka,” katanya.
Mohd Nasri (kiri) dan Muhammad Yusof (kanan) bersama penerima manfaat RMSR, Nur Azimah Md Rosli dan anaknya, Naura serta keluarganya semasa lawatan media ke RMSR Tampin baru-baru ini.
Beliau berkata, banyak pusat jagaan komuniti tidak mampu menyediakan bilik terapi khusus kerana kos pembinaan boleh melebihi RM100,000, selain kos penyelenggaraan peralatan yang mencecah puluhan ribu ringgit setiap lima tahun.
Justeru jelasnya, RMHC terpanggil untuk membantu melalui penyediaan bilik terapi sensori di pusat komuniti yang mempunyai keupayaan menjalankan terapi secara tetap.
"Usaha ini memberi manfaat besar kepada komuniti, khususnya keluarga yang tinggal jauh dari bandar.
"Statistik RMHC menunjukkan lebih 4,500 kanak-kanak autisme berusia tiga hingga 18 tahun menerima terapi berkala melalui bilik terapi yang disumbangkan setakat ini.
"Kita bukan sekadar menyumbang peralatan, tetapi turut membantu dari segi latihan, nasihat teknikal dan penyelenggaraan," ujarnya yang menjalankan kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menambah baik kemudahan terapi di PPDK seluruh Malaysia.

Naura menjalani terapi yang dijalankan oleh ahli terapi di Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, Tampin, Azimah Norsham.
Pendekatan holistik
Uniknya, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Tampin, Negeri Sembilan tersenarai sebagai satu-satunya kemudahan seumpamanya yang terletak dalam kawasan restoran McDonald’s.
Ia menyediakan pelbagai peralatan seperti lampu interaktif, permainan sensori, bahan rangsangan visual dan muzik latar menenangkan yang membantu merangsang perkembangan deria anak-anak serta mengurangkan tekanan sensori.
Pakar Terapi Cara Kerja RMHC Malaysia, Muhammad Yusof Abdul Kadir berkata, ia menjadikan pusat itu mudah diakses oleh masyarakat di daerah tersebut.
Beliau menjelaskan, bilik terapi sensori berkenaan direka sebagai pusat rawatan komprehensif, sesuai untuk kanak-kanak berkeperluan khas merangkumi tahap ringan hingga teruk.
"Berbeza dengan sesetengah bilik terapi yang hanya menumpukan pada satu kategori keperluan, kemudahan di Tampin menawarkan pelbagai jenis terapi di bawah satu bumbung.
"Kita mempunyai juruterapi cara kerja sepenuh masa yang bertauliah menjalankan rawatan di sini,” katanya.
Selain rawatan kanak-kanak, ujarnya, fokus pusat itu turut melibatkan ibu bapa yang akan diajar teknik asas menjalankan terapi di rumah.
“Ibu bapa sebenarnya paling memahami anak mereka. Jadi, ahli terapi akan berkolaborasi secara rapat dengan mereka.
"Kita ajar apa yang boleh dilakukan di rumah supaya terapi tidak terhenti selepas sesi di pusat,” ceritanya lagi.

Nurazlihafizah (kanan) mengakui, anaknya mula menunjukkan perubahan ketara dalam interaksi sosial selepas dua tahun menjalani terapi di RMSR.
Sementara itu, menurut salah seorang ibu, Nurazlihafizah Ahmad Ali, 40, berkata, anaknya, Muhammad Firas Mohd Amzar, 8, mula menunjukkan perubahan ketara dalam perkembangan dan interaksi sosial.
"Alhamdulillah, saya melihat banyak perubahan sejak dua tahun menjalani rawatan di sini.
"Walaupun non-verbal (tidak bercakap), dia sudah boleh memahami arahan dalam kelas dan tahu tentang bahaya.
"Saya tengok keadaan bilik dan material di dalamnya juga memang sesuai untuk anak-anak pendidikan khas," katanya yang menghantar anak sulung daripada dua beradik itu sebanyak empat kali sebulan.
Kehadiran RMSR jelas memberi harapan baharu buat ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak istimewa.
Dengan akses mudah, rawatan komprehensif dan sokongan juruterapi bertauliah, bilik terapi itu bukan sahaja membantu kanak-kanak mengurus emosi dan meningkatkan tumpuan, malah memberi peluang kepada ibu bapa untuk turut sama terlibat dalam proses perkembangan anak di rumah.
Pendekatan holistik tersebut membolehkan terapi berterusan, sekali gus memberi kesan positif jangka panjang terhadap pembelajaran dan interaksi sosial anak-anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
