Remaja perempuan sanggup pertaruh nyawa selamatkan budak lelaki jatuh dalam tasik beku


  • Maya
  • Rabu, 17 Dis 2025

Walaupun air membeku dan ais sangat nipis, Jiating tetap berani menyelamatkan nyawa orang lain tanpa ragu-ragu. — Agensi

SEORANG remaja perempuan sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang terjatuh ke dalam tasik beku.

Kejadian pada 6 Disember itu berlaku dekat sebuah taman di daerah Tongxin, Wilayah Autonomi Hui Ningxia, barat laut China.

Menurut laporan Jimu News, kanak-kanak lelaki itu sedang bermain di permukaan tasik yang membeku pada pukul 3 petang, sebelum ais yang nipis tiba-tiba pecah mengakibatkannya terjatuh ke dalam tasik.

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 14 tahun sanggup redah ombak sejauh 150 meter selamatkan budak perempuan

BACA LAGI: [VIDEO] Tak peduli 'off day', paramedik guna jaket kulit selamatkan budak perempuan 7 tahun

Jiating berada di permukaan ais sambil memegang sebatang paip yang dihulurkan beberapa penduduk. — Agensi

Ketika ibunya yang cemas menunggu pasukan penyelamat tiba di tebing tasik, remaja perempuan bernama Li Jiating menghampiri wanita tersebut dan menawarkan diri untuk membantu.

“Mak cik, saya agak ringan. Biar saya turun untuk menyelamatkannya,” katanya yang ketika itu menaiki basikal melalui kawasan tersebut.

Remaja berusia 13 tahun itu kemudian merangkak ke permukaan ais sambil memegang sebatang paip yang dihulurkan oleh beberapa penduduk.

Bagaimanapun, sebahagian ais pecah menyebabkan remaja berkenaan turut terjatuh ke dalam air yang sejuk beku.

Tidak lama kemudian, sepasukan anggota bomba tiba dan berjaya menyelamatkan kedua-duanya.

Remaja perempuan berkenaan diberi selimut kerana suhu ketika itu mencecah -5 darjah Celsius.

Jiating diberi selimut kerana suhu ketika itu mencecah -5 darjah Celsius. — Agensi

Selepas kejadian, remaja berkenaan meninggalkan lokasi tanpa memberitahu maklumat peribadi.

Gambarnya yang dirakam oleh orang awam kemudiannya tular di media sosial China, menyebabkan warga maya menjejaki identitinya dan menggelarkannya sebagai 'wira kecil'.

Identitinya kemudian dikenal pasti sebagai pelajar Sekolah Menengah No. 2 Daerah Tongxin.

Menurut bapanya, ketika pulang ke rumah pada hari kejadian, Jiating duduk di sisi dapur untuk memanaskan badan kerana pakaiannya basah kuyup.

“Apabila ditanya apa yang berlaku, dia hanya beritahu dia berada berhampiran sebuah lori penyiram air yang telah menyiram air ke atasnya.

"Saya hanya mengetahui tentang keberanian Jiating selepas membaca laporan kejadian itu di internet," katanya.

Jiating pernah dibawa melawat balai bomba tempatan oleh bapanya. — Agensi

Bapanya berkata, walaupun lega hatinya turut tersentuh memikirkan keselamatan anaknya.

“Saya bangga dengan anak saya. Walaupun air membeku dan ais sangat nipis, dia tetap berani menyelamatkan nyawa orang lain tanpa ragu-ragu,” ujarnya.

Menurut bapanya lagi, Jiating seorang yang optimis dan sentiasa bersedia membantu orang lain.

Beliau pernah dibawa melawat balai bomba tempatan dan menyatakan kekagumannya terhadap keberanian anggota bomba, namun bapanya menegaskan agar mengutamakan keselamatan diri sebelum membantu orang lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram