SEORANG paramedik yang sedang tidak bertugas bertindak pantas menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun daripada rumah yang terbakar di East Hollywood, California, Amerika Syarikat pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, Richard Recinos dalam perjalanan pulang dari makan malam Hari Thanksgiving bersama keluarganya apabila terlihat cahaya terang di langit berhampiran blok 4700 W. Oakwood Avenue.
Sebaik mendekati kawasan tersebut, lelaki berkenaan melihat api menjulang tinggi dengan bara api berterbangan merentasi jalan.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita pemilik tumbler RM75 hilang minta maaf, syarikat nafi pecat petugas keselamatan tren
BACA LAGI: Budak lelaki 11 tahun terselamat disengat 400 ekor lebah lepas serap ‘aura’ Vegeta
Recinos yang merupakan seorang paramedik terlatih, tiba lebih awal sebelum pasukan bomba dan pada mulanya menyangka semua penghuni berjaya keluar, tetapi kemudian ternampak seorang kanak-kanak perempuan, Savannah berdiri di anjung rumah ketika api semakin marak.
Tanpa berlengah, Recinos memakai jaket kulitnya sebagai perlindungan dan berlari ke arah kanak-kanak itu.
"Melihat keadaan ketika itu, saya nampak peluang untuk ambil dia dengan cepat dan keluar segera, dan semuanya berjalan lancar," katanya.
Recinos kemudian membawa Savannah keluar dari kawasan bahaya dan menyerahkannya kepada seorang saksi yang datang membantu.
Dia menyifatkan tindakan itu sebagai keputusan sepantas kilat yang tidak akan disesalinya, malah sanggup mengulanginya tanpa ragu.
Tidak lama selepas itu, pasukan bomba tiba dan membantu ahli keluarga Savannah yang lain keluar dengan selamat dan kanak-kanak itu dibawa ke hospital dan dirawat kerana melecur ringan pada kakinya sebelum dibenarkan pulang.
NEW: Off-duty paramedic rescues 7-year-old girl from burning home in East Hollywood on Thanksgiving
Richard Recinos was driving home from his family’s dinner when he noticed a bright glow in the sky
Recinos initially thought everyone had escaped, but then he saw 7-year-old… pic.twitter.com/MDu9fhoNyc
— Unlimited L's (@unlimited_ls) November 30, 2025
Dalam kenyataan di media sosial, Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan kecemasan pada 11.43 malam mengenai kebakaran pokok yang mula mengancam sebuah rumah berkembar dua tingkat.
Kebakaran berjaya dikawal pada bahagian luar rumah, namun sebuah kereta milik keluarga berkenaan musnah sepenuhnya. Rumah tersebut bagaimanapun masih utuh dan selamat didiami.
Tiada kecederaan lain dilaporkan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. Recinos berkata, insiden itu mengukuhkan lagi impiannya untuk menjadi anggota bomba pada masa hadapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
