[VIDEO] Remaja 14 tahun sanggup redah ombak sejauh 150 meter selamatkan budak perempuan


  • Tular
  • Ahad, 18 Dis 2022

Muhammad Zulfikal dianggap sebagai hero apabila berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk.

TINDAKAN pantas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk, Kijal dekat Kemaman, Terengganu.

Video berdurasi dua minit lebih itu mula tular di laman sosial TikTok @MissLalola sejak Sabtu menarik perhatian warga maya yang memuji tindakan remaja berkenaan dan menganggapnya sebagai hero.

Dalam video berkenaan, remaja lelaki itu dilihat mendayung sebuah sampan meredah ombak ke tengah laut untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan tersebut.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada waktu petang dan keadaan laut pada waktu kejadian dilihat bergelora serta cuaca mendung.

Beberapa orang awam juga dilihat cuba membantu namun gagal ekoran keadaan ombak yang tinggi dan besar.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji dan kagum dengan keberanian pelajar berkenaan.

Seorang pengguna TikTok @marsita mengucapkan tahniah kepada remaja berkenaan kerana berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan tersebut.

"Tahniah adik yang bawak sampan itu. Awak dah selamatkan satu nyawa," katanya.

@izabillionaire-rmn pula berkata, moga ALLAH angkat darjat kamu dik setinggi-tinggi di sisiNya.

Sementara itu, @ratulavendersweetieshara mempertikaikan ibu bapa kanak-kanak perempuan tersebut yang cuai dan membiarkan anak mereka bermandi-manda di laut ketika musim tengkujuh.

"Mana ibu bapa budak perempuan itu? Tengok gelombang ombak itu pun dah tinggi. nasib baik adik ini jadi hero selamatkan nyawa anak mereka.

Dalam perkembangan lain, Balai Polis Kijal mengesahkan kejadian tersebut dalam satu hantaran di Facebooknya.

"Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal yang berumur 14 tahun telah berjaya menyelamat seorang kanak-kanak perempuan dari menjadi mangsa korban lemas semasa mandi di Pantai Penunjuk Kijal.

"Muhammad Zulfikal Asmadi, 14 tahun yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, anak sulung dari 4 beradik telah berjaya menyelamat seorang kanak-kanak perempuan dari menjadi mangsa lemas.

"Semasa beliau berada di pantai, telah melihat seorang kanak-kanak yang terkapai-kapai meminta pertolongan, tanpa mengira keselamatan diri, pelajar tersebut bergegas dengan mengunakan sebuah perahu milik nelayan yang berada di situ dan mengharungi ombak sejauh 150 meter, telah berjaya membawa kanak-kanak tersebut ke persisir pantai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu lagi, pelajar tersebut memberitahu dia tidak merasa takut tapi perasaan ingin menyelamat mangsa mendorong beliau bertindak sedekimian.

"Bapa kepada Muhammad Zulfikal (Asmadi) yang berkerja sebagai nelayan juga turut bersyukur anaknya dan mangsa tersebut selamat dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram