SETIAP kejayaan dikecapi lahirnya daripada pengorbanan, doa dan sokongan insan tersayang yang sentiasa menjadi 'kunci' rezeki.
Itulah yang terpancar apabila pasangan selebriti, Sweet Qismina dan suaminya tampil penuh emosi dan rasa syukur selepas berjaya menjulang trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada Jumaat.
Kejayaan itu bukan sekadar kemenangan di pentas anugerah berprestij, malah menjadi simbol usaha gigih dua pasangan suami isteri yang saling melengkapi dalam bidang diceburi.
BACA LAGI: Lambang kekuatan wanita, sekumpulan remaja tunggang kuda sambil tabik hormat Presiden UAE
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
Sweet meluahkan rasa terharu dan bangga atas pencapaian tersebut dengan menyifatkan hubungan mereka sebagai lebih daripada sekadar pasangan suami isteri.
"Kawan sekerja, kawan sebantal, kawan gaduh, kawan merajuk, kawan segala-galanya dunia akhirat.
"Semoga ALLAH menjaga dan memberi rezeki kita berdua dalam industri seni ini, semoga kita dapat berkarya dengan lebih berkualiti lepas ni," tulis Sweet, menggambarkan realiti kehidupan rumah tangga yang dilalui bersama penuh warna di laman Threads.
Ungkapan itu mencerminkan keakraban dan kejujuran hubungan mereka, yang menjadi kekuatan utama dalam menghadapi tekanan serta persaingan dunia seni.
Menurutnya, kejayaan menjulang trofi ABPBH itu dianggap sebagai hasil kerja keras bersama sepanjang bergiat aktif dalam industri.
Dalam pada itu, pasangan itu juga tidak lupa menghargai insan di sebalik tabir yang banyak membantu menguruskan perjalanan karier mereka.
Penghargaan khas turut diberikan buat ibu bapa serta seluruh ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan mereka.
"Di sebalik kejayaan kami berdua, kami ada MOM-Manager yang ikhlas menjaga career kami dan tak lupa ibu, ayah dan seluruh keluarga yang sentiasa mendoakan kami," ujarnya.
Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 28, diumum sebagai Aktres Filem Popular menerusi naskhah Babah pada ABPBH Ke-37, sekali gus meleburkan harapan empat finalis iaitu Sophia Albarakbah, Nur Fazura, Emma Maembong dan Isyariana.
Ini kejayaan kedua Sweet di pentas ABPBH selepas dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular menerusi drama bersiri Hikayat Putera Shazlan pada 2017.
Sementara itu, suaminya, Adam Lee, 31, mencipta sejarah di pentas sama apabila diumum Aktor Pembantu Filem Popular. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
