Kupas nanas dalam tempoh 11 saat, pekerja kilang diiktiraf Guinness World Records


  • Sukses
  • Selasa, 16 Dis 2025

Dominika Gasparova diiktiraf Guinness World Records atas pencapaiannya mengupas sebiji nanas dalam tempoh 11.43 saat.

SEORANG pekerja kilang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat Rekod Dunia Guinness bagi masa terpantas mengupas sebiji nanas hanya dalam tempoh 11.43 saat.

Rekod membanggakan itu dicapai oleh Dominika Gasparova, 35, yang merupakan ketua pasukan kanan di kilang Del Monte di Wisbech, Cambridgeshire, England.

Pencapaiannya sekali gus memadamkan rekod terdahulu iaitu 17.85 saat yang dicatatkan di Concord, California, Amerika Syarikat pada April 2024.

BACA LAGI: Jangan cepat menghukum jika remaja menjauhkan diri, empati kunci baiki hubungan anak dan ibu bapa

BACA LAGI: Pelik anak depan orang petah bercakap tapi di rumah diam seribu bahasa, 5 cara atasi 'speech inhibition'

Menurut Gasparova, kejayaan tersebut adalah hasil pengalaman selama 16 tahun bekerja di kemudahan pemprosesan nanas berkenaan.

Bermula sebagai pekerja bawahan di kilang terbabit, ia sekali gus memberinya peluang untuk berlatih dan mengasah kemahiran dari hari ke hari.

"Saya sangat bersyukur, saya masih sedar bahawa saya sedang memenangi rekod dunia dan sangat gembira kerana Del Monte telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya selama 16 tahun yang lalu," katanya.

Semasa sesi percubaan, Gasparova muncul sebagai peserta terpantas dengan catatan masa 12.03 saat.

Dalam pusingan rasmi seterusnya, beliau berjaya memperbaiki masa tersebut dengan mencatat masa 11.43 saat, seterusnya diberikan pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.

Percubaan itu diselia oleh pengadil rasmi Guinness World Records, Joanne Brent yang turut menerangkan peraturan ketat bagi memastikan rekod tersebut sah.

Menurutnya, nanas digunakan mestilah mempunyai berat minimum 800 gram, hanya pisau standard yang tersedia dibenarkan dan setiap hirisan perlu berukuran tidak melebihi 3.8 sentimeter pada semua bahagian potongan.

Selepas mengesahkan percubaan tersebut sah, pengumuman rasmi itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada rakan sekerja dan pekerja kilang yang hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Dalam majlis ringkas penyampaian sijil, Brent berkata, "Dominika, pada kesempatan yang sangat istimewa ini, saya berbesar hati untuk menyampaikan pengiktirafan ini kepada anda.

"Anda kini pemegang gelaran Rekod Dunia Guinness, Dominika Gasparova anda memang hebat secara rasminya, tahniah," katanya.

Pencapaian Gasparova bukan sahaja mengharumkan nama syarikat, malah menjadi inspirasi bahawa kemahiran yang diasah melalui pengalaman dan dedikasi mampu membawa seseorang ke peringkat dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram