Pelik anak depan orang petah bercakap tapi di rumah diam seribu bahasa, 5 cara atasi 'speech inhibition'


  • Bonda
  • Selasa, 09 Dis 2025

Wujudkan rutin berkongsi cerita harian tanpa menghakimi atau mengganggu. — Gambar hiasan/AI

APABILA berbicara tentang tabiat berkomunikasi kanak-kanak, perhatian sering diberikan kepada anak yang pendiam atau malu.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi pola tingkah laku yang membingungkan ibu bapa iaitu anak yang nampak sepi dan kurang bercakap di rumah akan tetapi menjadi sangat petah, ceria dan rancak apabila berada dalam persekitaran luar.

Sebagai contoh seperti berada di sekolah, pusat beli-belah atau bertemu saudara-mara.

BACA LAGI: Risiko hamil lebih usia 40 tahun, apa wanita perlu tahu

BACA LAGI: [VIDEO] Bakal jadi adik-beradik tiri seusia, Erra Fazira dan Mr E lega anak-anak perempuan serasi

Ibu bapa mungkin tertanya-tanya, "Mengapa dia begitu senyap apabila bersama kami, tetapi begitu lantang dan gembira di luar?"

Fenomena itu merupakan 'inhibisi pertuturan', sering kali didorong oleh faktor-faktor psikologi dan persekitaran yang kompleks.

Ini terutamanya berkaitan dengan keperluan anak terhadap rangsangan sosial, perhatian dan batasan persekitaran rumah.

Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa anak menunjukkan personaliti yang berbeza ketara antara rumah dan persekitaran luar.

Anak mencari peluang bercakap di luar kerana kurangnya motivasi di rumah. — Gambar hiasan/AI

Apabila anak menjadi lebih banyak bercakap di luar, ia tidak semestinya bermakna mereka tidak selesa di rumah.

Ini mungkin menunjukkan bahawa mereka mengisi keperluan yang tidak mereka dapat di persekitaran rumah.

1. Keperluan rangasangan sosial

Di persekitaran luar terutamanya di sekolah atau majlis keramaian, anak berhadapan dengan ramai rakan sebaya dan orang dewasa yang baharu.

Mereka mungkin merasakan keperluan yang kuat untuk menarik perhatian, berkongsi cerita baharu yang dipelajari atau berinteraksi dengan cara yang lebih meriah.

Ini sekali gus menggunakan seluruh ‘tenaga sosial’ mereka.

2. Persekitaran rumah yang terlalu santai

Rumah dianggap sebagai zon selesa atau ‘ruang selamat'.

Selepas menggunakan banyak tenaga untuk berkomunikasi di luar, anak mungkin memilih untuk berehat atau ‘mengecas semula’ tenaga emosi mereka apabila pulang.

Dalam konteks itu, kesunyian di rumah adalah tanda mereka berasa cukup selamat untuk tidak perlu beraksi atau 'berusaha' untuk berkomunikasi.

3. Corak komunikasi keluarga

Jika ibu bapa atau ahli keluarga lain adalah individu yang dominan dalam perbualan atau rutin harian melibatkan banyak aktiviti yang dilakukan secara bersendirian.

Anak mungkin merasakan mereka tidak mendapat ruang atau motivasi yang cukup untuk menyumbang kepada perbualan.

Untuk menggalakkan anak yang petah di luar untuk lebih berkongsi dan berkomunikasi di rumah, ibu bapa perlu mengubah sedikit dinamik interaksi harian.

1. Wujudkan rutin 'pemeriksaan harian'

Tetapkan waktu yang konsisten setiap hari, seperti semasa makan malam atau sebelum tidur, yang mana setiap ahli keluarga berkongsi tiga perkara iaitu sesuatu yang menggembirakan, sesuatu yang mencabar dan sesuatu yang mereka pelajari.

Mulakan dengan ibu atau bapa dahulu untuk menjadi contoh dan elakkan menghakimi atau mengganggu cerita anak.

Ini supaya mengajar anak bahawa pendapat mereka dihargai.

2. Kurangkan persaingan perhatian

Pastikan semasa sesi perbualan, perhatian anak bukan bersaing dengan gajet, televisyen atau kerja ibu bapa.

Letakkan peranti jauh semasa waktu interaksi untuk beri tumpuan penuh dengan pandangan mata untuk tempoh yang singkat tetapi berkualiti.

Ini menunjukkan kepada anak bahawa anda bersedia sepenuhnya untuk mendengar mereka.

3. Gunakan soalan terbuka

Elakkan soalan yang hanya memerlukan jawapan 'ya' atau 'tidak', sebaliknya galakkan mereka bercerita dengan menggunakan soalan terbuka.

Gantikan "Seronok tak sekolah hari ini?" dengan "Beritahu ibu, bahagian mana yang paling menarik yang berlaku di sekolah hari ini?"

4. Libatkan anak dalam proses membuat keputusan

Berikan tanggungjawab kecil yang memerlukan input lisan daripada anak.

Ini sekali gus memberi mereka tujuan untuk bercakap di rumah selain hanya berkongsi cerita.

"Kita nak masak apa malam ini? Cuba awak cadangkan menu lauk yang paling sedap," atau "Adik rasa, tempat mana yang paling sesuai untuk kita letak hiasan ini?"

5. Sahkan emosi mereka

Apabila anak mula bercakap atau berkongsi, sahkan emosi mereka walaupun ia adalah perkara remeh.

Pengesahan emosi membina jambatan kepercayaan.

Balas, "Ibu faham awak mungkin rasa penat hari ini, itu yang buat awak diam. Tidak mengapa. Rehatlah dahulu, nanti kita bersembang," atau "Wah, itu memang seronok! Patutlah awak teruja sangat nak cerita." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram