Lanjut pengajian ke UK, Bunga Citra Lestari hantar anak daftar kursus universiti Oxford


  • Bonda
  • Selasa, 16 Dis 2025

Bunga Citra Lestari dan suami meluangkan masa menghantar anaknya mendaftar kursus di Universiti Oxford.

PENYANYI terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) meluahkan rasa bangga dan syukur apabila anak tunggalnya, Noah Sinclair, melangkah ke fasa baharu kehidupan dengan mendaftar kursus kem di Universiti Oxford, United Kingdom.

Menerusi satu hantaran di Instagram, BCL berkongsi beberapa keping foto Noah, 15, di sekitar kampus universiti berprestij itu.

Dalam pada itu, BCL turut hadir bersama suaminya, Tiko Aryawardhana bagi menghantar Noah memulakan pengajian di sana.

BACA LAGI: 'Tahniah anakku', wanita sebak bapa tinggal nota pada tesis Sarjana lepas setahun tak menulis

BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun

Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai peminat yang rata-ratanya menitipkan ucapan tahniah serta doa agar Noah terus cemerlang dalam bidang akademik di perantauan.

"Semoga Noah Sinclair seronok dan mendapat pengalaman hebat di sana," titip Bunga.

 

 

Terdahulu, Noah turut mencuri perhatian apabila dilantik sebagai ketua upacara menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-80 Republik Indonesia di sekolahnya.

Detik bersejarah itu disifatkan BCL sebagai amat istimewa kerana bukan sahaja melambangkan pencapaian anaknya, malah mencerminkan semangat nasionalisme yang kukuh dalam diri Noah.

Walaupun dibesarkan dalam persekitaran budaya berbeza di Malaysia dan Indonesia, Noah membuktikan kecintaannya terhadap negara asalnya tetap utuh.

Kepimpinannya menjadi bukti bahawa pendidikan sahsiah dan nilai disiplin yang diterapkan di sekolah mampu membentuk generasi muda berjiwa kepimpinan.

Bagi BCL, melihat Noah berdiri megah di padang upacara bukan sekadar momen kebanggaan seorang ibu, sebaliknya detik bermakna yang akan dikenang sepanjang hayat.

“Walaupun dia dibesarkan dalam tiga budaya yang berbeza, pada pagi itu, melalui suaranya yang lantang memimpin upacara, saya melihat semangat Indonesia begitu kuat hadir dalam dirinya. Bangga denganmu, Noah,” tulis BCL dalam catatannya sekitar Ogos lalu.

Kemasukan Noah ke Universiti Oxford sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai anak muda bahawa pendidikan, sahsiah dan sokongan keluarga mampu membuka jalan ke institusi pengajian terkemuka dunia.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram