BERJAYA menamatkan pengajian bukan sahaja menjadi momen manis buat seorang graduan, tetapi turut menjadi saat paling bermakna untuk ibu bapa yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan tersebut.
Namun, bagi sesetengah keluarga, detik kecil seperti melihat seorang ayah menulis ucapan ringkas di halaman tesis juga boleh menjadi kenangan yang cukup menyentuh hati.
Situasi itu dialami seorang wanita ini apabila bapanya yang berusia 88 tahun, kembali memegang pen untuk kali pertama sejak lebih setahun tidak memegang pen.
BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
Kisah itu bermula ketika @HintanCijah berkunjung ke rumah kakaknya dan melihat bapanya sedang membaca akhbar yang memaparkan kejayaan Profesor Norazah, wanita Malaysia pertama dinobatkan sebagai saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut.
Kagum dengan pencapaian tokoh tersebut, bapanya tidak henti-henti memuji kehebatan beliau yang disifatkan kisah inspirasi wanita.
Melihatkan momen itu, @HintanCijah memberitahu bahawa dia juga sedang menyiapkan tesis sarjana dan memerlukan tandatangan bapanya sebagai kenangan.
"Ayah, anakmu pun sedang menamatkan Master, kajian tesis saya dah siap, saya perlu hantar hari ini, boleh tak tandatangan satu salinan untuk kenangan sahaja?" katanya.
Permintaannya membuatkan individu warga emas itu terdiam seketika kerana sejak tinggal bersama kakaknya sekitar 2020, bapanya tidak pernah memegang pen.
Malah, pemergian isteri tercinta pada 1 Januari 2024 juga menjadi antara faktor mendorong bapanya berhenti menulis sepenuhnya.
"Apabila saya menghulurkan pen itu kepadanya, dia menjadi gementar dan dia juga terlupa rupa tandatangannya.
"Saya dan Kak Ngah cuba melakar apa yang kami ingat, dia mengambil masa untuk mula menulis, tangannya tidak dapat bergerak lebar atau stabil mungkin kerana sudah lama dia tidak memegang pen," ujarnya.
Selepas beberapa kali mencuba, bapanya berhasil meninggalkan nota ringkas tertulis "tahniah anakku" yang menurutnya satu momen menyentuh jiwa.
"Hanya itu yang dia mampu tulis, tapi bagi saya itu sudah lebih daripada cukup.
"Ia melambangkan kasih sayang dan sokongan ayah yang tak pernah berkurang walaupun jasadnya sudah tua dan hatinya kehilangan ibu," tambahnya.
Tular di media sosial, rata-rata netizen berkongsi rasa sebak dan kagum terhadap dedikasi bapanya biarpun sudah di fasa usia warga emas.
Bahkan, ucapan ringkas ditinggalkan juga meninggalkan seribu satu kesan mendalam yang sarat dengan kenangan serta memori tidak akan dilupakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
