KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering menjadi penentu hala tuju masa depan, namun hakikatnya laluan pendidikan selepas SPM tidak terhad kepada satu pilihan sahaja.
Pelajar mempunyai pelbagai alternatif untuk menyambung pengajian mengikut minat, kemampuan akademik dan perancangan kerjaya masing masing termasuk di luar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Secara keseluruhan, terdapat sekurang-kurangnya sembilan laluan akademik dan profesional yang boleh dipilih oleh lepasan SPM untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
BACA LAGI: 'Tahniah anakku', wanita sebak bapa tinggal nota pada tesis Sarjana lepas setahun tak menulis
BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun
1. Program asasi
Program asasi bertujuan menyediakan pelajar dengan asas kukuh sebelum melangkah ke peringkat ijazah sarjana muda.
Bagi pelajar yang memilih foundation di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), mereka digalakkan untuk merancang kesinambungan pengajian hingga ke peringkat ijazah di institusi yang sama, memandangkan peluang untuk berpindah ke universiti awam adalah terhad.
Di universiti awam pula, program asasi ditawarkan dalam bentuk asasi terbuka atau tertutup bergantung kepada bidang serta institusi.
2. Kolej Matrikulasi
Kolej Matrikulasi yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan antara laluan pilihan ramai pelajar tempatan.
Program matrikulasi menawarkan lima jurusan utama dan pelajar akan ditempatkan di kolej-kolej matrikulasi di seluruh negara.
Laluan ini menjadi antara pilihan popular kerana tempoh pengajian yang singkat dan peluang luas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti awam.

Peperiksaan SPM menjadi detik penentu masa depan pelajar ke pengajian tinggi. — The Star
3. Institut Pendidikan Guru
Selain itu, Institut Pendidikan Guru (IPG) turut menjadi pilihan bagi lepasan SPM yang berminat untuk menceburi bidang pendidikan, khususnya sebagai guru sekolah.
IPG juga menawarkan beberapa program khas seperti Program Pelajar Cemerlang (PPC), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Islam (PISNP) yang membuka laluan kepada pengajaran di sekolah menengah atau institusi pendidikan di bawah KPM.
4. STPM
Program Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Tingkatan Enam merupakan laluan akademik yang diiktiraf tinggi dan dianggap antara yang paling menyeluruh dari segi kandungan pembelajaran.
STPM kini ditawarkan di kampus universiti terpilih seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain Kolej Tingkatan Enam serta pusat Tingkatan Enam di seluruh negara.
Walaupun laluan itu mencabar, STPM menyediakan asas akademik yang kukuh untuk kemasukan ke universiti awam dan luar negara.
5. Sijil Tinggi Agama Malaysia
Bagi pelajar yang berminat mendalami bidang pengajian Islam, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menjadi pilihan utama.
Program tersebut khusus untuk pelajar aliran agama dan sering dijadikan batu loncatan bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian Islam di negara-negara Timur Tengah.
6. Diploma
Laluan seterusnya ialah program diploma yang ditawarkan oleh universiti awam, politeknik serta IPTS.
Politeknik yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menawarkan pelbagai bidang teknikal dan profesional.
Program diploma biasanya mengambil masa sekitar tiga tahun dan menjadi antara laluan paling ramai menerima tawaran selepas SPM, dengan peluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah selepas tamat pengajian.
7. Akademik profesional
Selain laluan akademik konvensional, pelajar juga boleh memilih laluan profesional.
Antaranya ialah bidang penerbangan, di mana lepasan SPM boleh mengikuti latihan di akademi untuk mendapatkan lesen juruterbang komersial.
Namun, laluan itu memerlukan kos yang tinggi, dianggarkan antara RM400,000 hingga RM500,000.
Dalam bidang perakaunan pula, laluan profesional seperti ACCA dan ICAEW membolehkan pelajar memasuki program asas perakaunan sebelum meneruskan ke peringkat kelayakan profesional.
8. Pra universiti
Selain itu, lepasan SPM juga boleh memilih laluan pra universiti antarabangsa atau luar negara.
Antaranya ialah program A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation, Canadian Pre-University dan American Degree Transfer Program (ADTP).
Program-program tersebut biasanya ditawarkan di sekolah antarabangsa atau kolej swasta yang menggunakan silibus antarabangsa.
Laluan itu sesuai untuk pelajar yang merancang melanjutkan pengajian ke universiti luar negara kerana kelayakannya diiktiraf secara global.
9. Sijil
Laluan sijil turut menjadi pilihan, khususnya bagi pelajar yang cenderung kepada kemahiran praktikal.
Terdapat pelbagai sijil kemahiran dari tahap satu hingga tahap tiga dalam bidang seperti kulinari, penjagaan kanak-kanak, elektrik, pembinaan dan bidang teknikal lain.
Secara keseluruhan, lepasan SPM mempunyai banyak pilihan untuk menyambung pengajian namun, pemilihan laluan yang sesuai perlu mengambil kira keputusan akademik, minat serta hala tuju kerjaya masing-masing.
Bagi calon SPM 2025 khususnya, keutamaan utama adalah menyelesaikan peperiksaan dengan sebaik mungkin.
Walau apa pun keputusan diperoleh, peluang untuk menyambung pengajian tetap terbuka dan keputusan tersebut akan menentukan laluan pendidikan di peringkat tertinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
